PM adakan lawatan rasmi sulung ke Arab Saudi
17:03 Mar 22, 2023  |  By SabahKini2
PM adakan lawatan rasmi sulung ke Arab Saudi

Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan isu-isu dan kerjasama sedia ada di samping meneroka pelbagai bentuk kerjasama baharu.

Jeddah (Arab Saudi): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pagi ini bagi memulakan lawatan rasmi sulung ke negara Timur Tengah itu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pesawat khas membawa Perdana Menteri untuk lawatan tiga hari itu mendarat di Royal Pavillion, Lapangan Terbang King Abdulaziz pukul 6.40 pagi waktu tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia).

Ketibaan beliau bersama isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut oleh Gabenor Jeddah Yang Mulia Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud.

Dalam lawatan itu, Anwar turut diiringi Menteri Luar Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Lawatan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membincangkan isu-isu dan kerjasama sedia ada di samping meneroka pelbagai bentuk kerjasama baharu.

“Semoga lawatan ini akan terus memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara, inshaAllah,” menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi beliau hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri Datin Seri Juliah Salag turut menunaikan umrah.

Ketika di Mekah, Hajiji turut berkesempatan beramah mesra dengan anak-anak Sabah yang sedang menuntut di Universiti di Madinah.

Turut bersama beliau menunaikan umrah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan rombongan yang lain.

Hajiji sebelum itu turut mengadakan pertemuan bersama pelajar Sabah yang sedang menuntut di universiti di Mesir, Jordan dan Arab Saudi anjuran Yayasan Sabah di Al-Saraya Intercontinental Hotel City Star pada Sabtu lalu. – SM

Comment