Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China. Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China.
Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.
Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China.
Pencapaian berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan ribuan pelabur dan ahli perniagaan pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, di sini.
Menurut Perdana Menteri, ia sekali gus menunjukkan keyakinan China, khususnya pelabur dari negara itu terhadap ekonomi Malaysia.
"Ini adalah rekod tertinggi kepada negara, yang mana kami sudah mencapai komitmen sebanyak RM170 bilion pelaburan.
"Saya harus berterima kasih kepada pelabur kerana memberi kerjasama serta keyakinan kepada kami bahawa apa yang saya nyatakan sebentar tadi (dalam ucaptama) adalah yang terbaik untuk masa depan Malaysia," katanya.
Terdahulu dalam ucap tama pada forum itu, Anwar memberi jaminan bahawa kepemimpinannya akan memastikan segala bentuk kemudahan dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan di Malaysia, berada pada tahap paling optimum.
"Justeru, bina lebih banyak perkongsian dengan syarikat Malaysia terutama dalam sektor strategik, untuk memajukan hubungan (Malaysia-China) supaya lebih mendalam.
"Kepada semua pemimpin perniagaan kami baik di China dan Malaysia, jadilah pemangkin kepada pembaharuan," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan diperkukuhkan lagi dengan kehadiran syarikat terkemuka China seperti Risen Energy, Huawei, Longi Solar, Bytedance, Jinko Solar, EVE Energy, Alliance Steel, Alibaba Group, Geely Auto Group, Xiamen University dan banyak lagi.
"Menjadi harapan saya agar syarikat-syarikat ini yang melabur di kawasan strategik akan terus mengembangkan operasi mereka dan bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan serta kerajaan untuk membina keupayaan baharu, membangunkan industri utama dan mencipta pekerjaan dengan bayaran gaji yang tinggi kepada rakyat Malaysia," katanya.
Antara MoU itu ialah perjanjian utama antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd mengenai cadangan usaha sama dalam pembangunan dan pengkomersialan lembah teknologi tinggi automotif di Tanjung Malim, Perak, untuk kenderaan tenaga baharu serta antara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia dan Dewan Perniagaan China untuk import dan eksport jentera dan produk elektronik.
MoU lain yang dimeterai ialah antara Digital Way Group Sdn Bhd, China Silk Road Group Ltd dan China Kairous Capital untuk sama-sama menubuhkan dana digital dan pembangunan Malaysia-China di China dan Malaysia serta satu MoU mengenai cadangan pembangunan loji sisa kepada tenaga di Malaysia.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.
Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas, dengan pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion (RM55.16 bilion).
Mengulas mengenai pelaburan dari China itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pelaburan besar diumumkan Perdana Menteri itu membabitkan komitmen pelaburan syarikat swasta dari China.
Daripada jumlah itu, katanya, komitmen pelaburan RM100 bilion dipersetujui hasil pertemuan Anwar bersama 50 pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada sesi meja bulat, manakala RM70 bilion lagi adalah daripada pemeteraian 19 MoU pada forum berkenaan.
Syarikat berkenaan termasuk dalam sektor perumahan, pembinaan, pendidikan, teknologi, pertanian serta tenaga.
Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 berlangsung sehari itu dihadiri 1,000 peserta daripada kedua-dua negara yang dihoskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Satu lagi MoU penting akan dimeterai antara kerajaan dalam pertemuan Anwar dengan rakan sejawat, Li Qiang, sejurus selesai upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat, di sini, nanti.
Pemeteraian MoU yang bakal disaksikan kedua-dua pemimpin itu merangkumi protokol untuk meminda perjanjian bagi memperluas serta memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Kerajaan Malaysia dengan China, membabitkan MITI serta Kementerian Perdagangan China.
Selain itu, protokol keperluan fitosanitasi untuk pengeksportan nangka ke China membabitkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (MAFS) serta Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) akan turut dimeterai.
Protokol terakhir akan ditandatangani pula berkait keperluan kuarantin dan kesihatan untuk import makanan akuakultur dari Malaysia ke China, membabitkan MAFS.
Perdana Menteri kini pada hari terakhir dalam lawatan tiga hari ke sini untuk meningkatkan hubungan politik dan perdagangan dua hala yang strategik dengan China.
Anwar tiba di China pada Rabu lalu untuk lawatan rasmi empat hari dengan mengetuai delegasi yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Jadual Perdana Menteri cukup padat yang antara lain menyaksikan Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping, di Dewan Besar Rakyat, Beijing, semalam.
Ia adalah pertemuan empat mata pertama dan bersejarah antara kedua-dua pemimpin itu yang mengadakan mesyuarat selama hampir sejam.
Selesai berjumpa Jinping, Anwar bersama delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhao Leji, juga di Dewan Besar Rakyat.
Di Beijing, Anwar turut menyempurnakan majlis iftar Perdana Menteri bersama delegasi perniagaan dan pemimpin Muslim China. Kira-kira 300 ahli perniagaan dari Malaysia dan China hadir pada majlis itu.
Pada hari pertama ketibaan, Anwar meluangkan masa beramah mesra serta berbuka puasa bersama wakil komuniti Islam setempat dan delegasi Malaysia yang menyertai Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) di Hainan.