Cubaan potong curi kabel punca gangguan bekalan elektrik di Menara Kinabalu
15:04 Apr 05, 2023  |  By SabahKini2
Cubaan potong  curi kabel punca gangguan bekalan elektrik di Menara Kinabalu

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) Idris Mohd Noor berkata, kerja pemulihan bekalan giat dilaksanakan di sekitar kawasan berkenaan.

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di kawasan Menara Kinabalu disebabkan cubaan memotong dan mencuri kabel yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) Idris Mohd Noor berkata, kerja pemulihan bekalan giat dilaksanakan di sekitar kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan di kawasan talian 33kV oleh pasukan teknikal SESB mendapati terdapat kesan potongan dan terbakar pada bahagian kabel dipercayai untuk dicuri.

“Kerosakan ini menjejaskan bekalan ke beberapa kawasan di Alamesra, Likas dan Menara Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya kerja pemulihan bekalan bagaimanapun sudah dilaksanakan secara berperingkat dan SESB berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan pada hari yang sama.

Beliau bagaimanapun berkata bekalan ke Menara Kinabalu masih terjejas selepas berlaku kerosakan kabel sekali lagi pada lewat malam Selasa. 

“Kerosakan kedua ini dipercayai disebabkan kerja penimbusan tanah di laluan utama kabel bawah tanah.

“SESB kini menempatkan enam buah janakuasa mudah ahli di kawasan Menara Kinabalu untuk menampung keperluan bekalan elektrik ke bangunan itu,” katanya.

Comment