Tiada bukti sabotaj punca tragedi 'Double Six'
23:04 Apr 12, 2023  |  By SabahKini2
Tiada bukti sabotaj punca tragedi 'Double Six'

Laporan pasukan penyiasat tragedi itu yang dinyahklasifikasi. Tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat dalam siasatan terhadap punca pesawat terhempas pada 1976, yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu,

Tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat dalam siasatan terhadap punca pesawat terhempas pada 1976, yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens dan 10 yang lain.

Laporan pasukan penyiasat tragedi itu yang dinyahklasifikasi hari ini, juga mendedahkan pesawat malang terbabit diselenggara mengikut jadual, selain melakukan penerbangan dengan had berat yang dibenarkan.

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan, kedudukan pusat graviti pesawat terbabit di luar had buritan kapal.

“Prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional,” kata laporan itu lagi.

Selain itu, ujian patologi terhadap juruterbang pesawat Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 6 Jun 1976 membuktikan beliau cukup layak untuk terbang pada ketika itu.

Laporan akhir nahas udara itu yang dinyahklasifikasikan hari ini mendedahkan juruterbang berkenaan tidak mengalami kesan daripada alkohol atau dadah.

Bagaimanapun, terdapat bukti lain yang menunjukkan juruterbang itu penat dan mengalami sakit perut ringan.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan menyiarkan laporan penuh nahas pesawat terhempas pada 1976 menerusi sesawangnya.

Menterinya, Anthony Loke, berkata proses nyahklasifikasi laporan terbabit selesai pada 6 April mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum ia dimuat naik untuk dilihat oleh orang awam menerusi sesawang, www.mot.gov.my.

Pada 5 April lalu, media melaporkan kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan kemalangan pesawat itu yang dikenali sebagai “Tragedi Double Six”.



Keratan akhbar laporan pesawat Sabah Air yang terhempas pada tahun 1976.

Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Mereka yang maut termasuk Menteri Kabinet Sabah, Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.

Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi

 

Comment