Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansur berkata usaha ini mampu menggalakkan lebih ramai pihak tempatan melibatkan diri dalam bidang pertanian.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengalu-alukan kerjasama dengan Yun Fung Sang Group Sdn Bhd dalam usaha memperkasakan Pertanian Eco-Farm sebagai platform pendidikan berasaskan latihan penyelidikan untuk kepentingan pelajar dan usahawan tani.
Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansur berkata usaha ini mampu menggalakkan lebih ramai pihak tempatan melibatkan diri dalam bidang pertanian dan mewujudkan penyelidikan dalam bidang kelapa sawit dan pertanian lain.
“Pendidikan pertanian adalah salah satu aspek penting bagi pertumbuhan sektor pertanian Malaysia kerana ia memanfaatkan teknologi dan inovasi dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor hiliran kelapa sawit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani Perjanjian Penyelidikan (Pertanian Regeneratif dan Biodiversiti) antara UMS dan Industri Kelapa Sawit, Yun Fung Sang Group Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif (BMLE) Bangunan Canselori Blok Selatan UMS Kota Kinabalu di sini.
Katanya kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama menubuhkan Pengerusi Regenerative Agriculture and Biodiversity bagi memperkasakan industri sawit di negara ini khususnya dalam aspek meningkatkan kesihatan tanah pertanian dan pemuliharaan agrobiodiversiti.
“Baja yang dihasilkan lebih menjimatkan dan mesra alam selain memberi impak tinggi dalam meningkatkan pengeluaran tanaman pertanian lestari termasuk kelapa sawit,” katanya.
Yun Fung Sang Group Sdn Bhd menyokong projek ladang-eko UMS melibatkan kajian aplikasi unsur surih tambahan pada tanah untuk meningkatkan hasil kelapa sawit, kesihatan tanah dan kepelbagaian fauna tanah di ladang kelapa sawit seluas 12 hektar di Gum-Gum Batu 16 Sandakan.
Projek terbabit dilaksanakan pada 2022 melibatkan sumbangan dalam tempoh lima tahun daripada Yun Fung Sang Group Sdn Bhd dan penyertaan anak syarikatnya iaitu Baja Harapan Group Sdn Bhd, Kang Ke Palm Sdn Bhd dan Agri Business Consultancy Sdn Bhd.
Projek penyelidikan ini turut melibatkan beberapa pakar dan penyelidik iaitu Ketua Penyelidik Prof Madya Dr Suzan Benedick (Entomologi dan Biodiversiti), Dr Clament Chin Fui Seung (Mikrobiologi dan Bioteknologi), Dr Januarius Gobilik (Multi-dan Agronomi Rentas Disiplin) dan Dr Salumiah Mijin (Hortikultur dan Pemakanan Tanah).
Terdahulu Suzan menyatakan matlamat projek kerjasama ini adalah untuk menambah baik pengurusan nutrien tanah dalam agroekosistem kelapa sawit dengan memberikan maklumat dan nasihat yang lebih baik kepada petani kelapa sawit serta menumpukan kemampanan seperti pengayaan unsur surih tanah dan keberkesanan kos.
Sementara itu, Pengarah Yun Fung Sang Group Sdn Bhd Steve Lee berkata pihaknya akan memperkasa sektor pertanian khususnya sektor minyak sawit bagi mencapai matlamat dasar inisiatif kerajaan Sabah untuk menjadikan negeri itu peneraju global dalam industri minyak sawit mampan.
“Kita berharap melalui penyelidikan ini daya saing dapat diperkukuh dan sistem kerjasama antara ahli akedemik dan industri dapat menyumbang kepada pembangunan industri pengurusan nutrien kelapa sawit,” katanya.
Melalui perjanjian ini kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama bagi mencapai output melibatkan penerbitan dan seminar penyelidikan berkaitan baja, pengeluaran minyak sawit dan biodiversiti dalam ladang sawit, pertukaran sumber manusia serta kepakaran dalam bidang tertentu termasuk penghasilan perdagangan hasil penyelidikan dan tanda dagangan.