Kanak-kanak terima 20 jahitan di muka
15:04 Apr 28, 2023  |  By SabahKini2
Kanak-kanak terima 20 jahitan di muka

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintenden Noraidin Ag. Maidin berkata, semasa kejadian berlaku, mangsa (kanak-kanak) yang tercedera kebetulan berada di tempat kejadian.

TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menerima 20 jahitan di sebelah kanan mukanya dipercayai telah dipukul dengan buckle tali pinggang dalam satu kejadian pergaduhan antara dua kumpulan remaja di perkarangan Pusat Komersial Taman Telipok Ria dekat sini pada 18 April lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintenden Noraidin Ag. Maidin berkata, semasa kejadian berlaku, mangsa (kanak-kanak) yang tercedera kebetulan berada di tempat kejadian.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu seorang perempuan berumur 31 tahun iaitu ibu kepada mangsa pada 19 April jam 8.41 malam. Pengadu telah membawa anaknya ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut dan laporan polis dibuat untuk makluman dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut Noraidin, hasil siasatan awal mendapati sekumpulan remaja dari perumahan Taman Telipok Ria telah bergaduh secara beramai-ramai dengan sekumpulan remaja dari perumahan Taman Tuaran Impian.

“Pergaduhan berlaku pada jam 8 malam (18 April) didapati berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek antara kedua-dua kumpulan remaja terbabit.

“Siasatan juga mendapati pergaduhan hanya melibatkan kumpulan remaja secara rawak dan tidak ada melibatkan kumpulan gangsterism,” jelasnya.

Beliau berkata, polis telah menangkap dua orang suspek remaja lelaki berumur dalam lingkungan 11 dan 16 tahun untuk membantu siasatan kes.

“Pada 20 April jam lebih kurang 4.30 petang, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tuaran telah menangkap seorang remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan tersebut dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk soal siasat.

“Tangkapan susulan pada 25 April jam lebih kurang 1.00 petang, seorang lagi remaja lelaki ditangkap di Taman Telipok Ria untuk siasatan berhubung kes yang sama,” katanya.

Noraidin berkata, pihak Polis dalam usaha mengesan kesemua individu yang terlibat yang masih bebas.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya bertindak pantas untuk menghubungi pihak polis sekiranya insiden seperti ini berlaku.

“Orang ramai juga diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis terutamanya yang berlaku di dalam Daerah Tuaran supaya tindakan dapat diambil dengan segera,” tegasnya.

Comment