Tindakan undang-undang BERSATU terhadap 4 Ahli Parlimen GRS tidak mengejutkan - Armizan
08:05 May 01, 2023  |  By SabahKini2
Tindakan undang-undang BERSATU terhadap 4 Ahli Parlimen GRS tidak mengejutkan - Armizan

Armizan tidak terkejut dengan tindakan BERSATU membuat semakan ke mahkamah 4 MP GRS. Katanya semua itu sudah dijangka. Empat kerusi Parlimen itu merujuk Papar, Batu Sapi, Ranau, dan Sipitang.

Tindakan Bersatu memohon kebenaran mahkamah memulakan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah kosong bukan sesuatu mengejutkan, kata Ahli Parlimen Papar Armizan Ali.

Empat kerusi Parlimen itu merujuk Papar, Batu Sapi, Ranau, dan Sipitang.

Armizan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkembangan itu namun belum menerima sebarang notis daripada mahkamah atau Bersatu.

Menurutnya, tindakan itu juga dilihat sebagai usaha menggagalkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

“Saya tidak terkejut kerana ia tindakan pihak yang tidak ingin melihat gerakan parti tempatan di Sabah. Ia juga usaha untuk menggagalkan Gagasan Rakyat yang bergerak dalam satu landasan mengikut citra tempatan.

“Setelah saya menerima notis atau surat daripada pihak berkenaan, kita akan jumpa pasukan peguam untuk khidmat nasihat,” katanya

Armizan turut mengulas sama ada Bersatu mempunyai “locus standi” mencabar keputusan empat Ahli Parlimen berkenaan meninggal parti terbabit.

“Tanyakan kepada pihak yang membawa tuntutan ini ke mahkamah. Tanyakan kepada beliau (Ronald) mengapa beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Kami (empat Ahli Parlimen) bertanding bawah tiket GRS. Adakah sama atau berbeza? Saya rasa tiada kekosongan kerusi dan kita perlu menghormati sistem kehakiman negara.

“Kita perlu patuhi dan hormati walaupun keputusan telah dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ini berkenaan perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Ronald Kiandee dan pegawai awam parti, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan isu berkenaan.

Mereka menamakan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen iaitu Armizan (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau), serta Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Pada 10 Dis lalu, sekumpulan 15 Adun GRS dan empat Ahli Parlimen berkenaan mengisytiharkan keluar Bersatu.

PN mendakwa empat Ahli Parlimen terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing selaras pelaksanaan undang-undang anti-lompat parti termaktub dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

 

2 Comments