3 remaja perempuan menjadi mangsa rogol di rumah tumpangan
15:05 May 02, 2023  |  By SabahKini2
3 remaja perempuan menjadi mangsa rogol di rumah tumpangan

Hasil siasatan mendapati kejadian rogol berkumpulan itu membabitkan dua lagi rakannya dan empat lelaki yang tidak dikenali serta seorang perempuan berumur 17 tahun.

KOTA KINABALU: Tiga remaja perempuan dirogol selepas diumpan menggunakan vape berperisa baharu oleh empat lelaki di sebuah rumah tumpangan di Kampung Air 26 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kesemua mangsa berumur 13 tahun terbabit termasuklah seorang pelajar sekolah.

“Polis menerima laporan daripada salah seorang mangsa pada 27 April lalu yang mendakwa menjadi mangsa rogol berkumpulan di sebuah rumah tumpangan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian rogol berkumpulan itu membabitkan dua lagi rakannya dan empat lelaki yang tidak dikenali serta seorang perempuan berumur 17 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.

Beliau berkata siasatan awal kejadian bermula apabila empat suspek lelaki dan seorang perempuan menegur ketiga-tiga mangsa ketika berada di sebuah pusat beli belah di bandar raya ini dan memujuk ketiga-tiga mangsa untuk melepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air.

"Ketika berada di rumah tumpangan berkenaan, semua mangsa diumpan untuk menghisap vape berperisa baru.

“Kesemua mangsa menuruti pelawaan suspek sebelum ketiga-tiga mereka tidak sedarkan diri dipercayai dirogol selepas semua mangsa tersedar pada tengah malam.

“Mangsa mendapati mereka dalam keadaan tidak berpakaian manakala empat lelaki dan seorang perempuan terbabit sudah menghilangkan diri,” katanya.

Tambahnya mangsa kemudian membuat laporan polis untuk memaklumkan kejadian.

“Bertindak dengan laporan yang dibuat oleh mangsa, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu berjaya mengesan dan menangkap kelima-lima suspek termasuk remaja perempuan pada 27 April lalu.

"Kesemua suspek berumur 13 hingga 17 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini dan Telipok Ria Tuaran.

"Suspek direman sehingga 5 Mei depan untuk siasatan mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati remaja terutama remaja perempuan supaya tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan kenalan lelaki yang baru dikenali dan tidak mencuba untuk menghisap vape kerana akan membawa kepada risiko keselamatan diri.

Comment