Pembantu jurulatih selam ditahan polis, kes cabul pelancong China
11:05 May 08, 2023  |  By SabahKini2
Pembantu jurulatih selam ditahan polis, kes cabul pelancong China

Dalam kejadian pada 5 Mei 2023 jam lebih kurang 1.00 petang, mangsa merupakan seorang pelancong wanita warga China berumur 25 tahun mengatakan telah dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam scuba.

SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China membuat laporan polis kerana mendakwa dia telah dicabul oleh seorang pembantu jurulatih selam scuba (divemaster) semasa melakukan aktiviti selaman scuba di perairan sebuah pulau peranginan di daerah Semporna pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada 5 Mei 2023 jam lebih kurang 1.00 petang, mangsa merupakan seorang pelancong wanita warga China berumur 25 tahun mengatakan telah dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam scuba (divemaster) semasa melakukan aktiviti selaman scuba di perairan sebuah pulau peranginan di daerah Semporna.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Asisten Superintenden Arif Abdul Razak berkata, pengadu/mangsa membuat laporan polis pada 6 Mei 2023 jam 10.03 pagi sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asal.

“Hasil dari maklumat tersebut, suspek dalam kejadian ini seorang lelaki berumur 27 tahun warga tempatan yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam scuba dengan sebuah pusat selaman scuba telah ditangkap pada 7 Mei 2023 jam lebih kurang 12.50 pagi di sebuah penginapan atas air dalam daerah Semporna.

“Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan reman ke atas suspek telah dipohon di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 11 Mei 2023 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. – SM

Comment