Minta Rasuah RM361 ribu projek paip Sipitang jurutera dan isteri ditahan SPRM
23:03 Mar 05, 2018  |  By SabahKini2
Minta Rasuah RM361 ribu projek paip Sipitang  jurutera dan isteri ditahan SPRM

Pembayaran rasuah tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat isterinya sebagai upah bagi melantik Syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan seorang jurutera sebuah syarikat petroleum bersama isterinya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM361,000 daripada syarikat kontraktor bagi melakukan kerja pengujian terhadap paip-paip yang dipasang di sebuah projek di Sipitang, Sabah tiga tahun lalu. 

Pasangan suami isteri tersebut masing-masing berusia 58 tahun dan 49 tahun ditahan di rumah mereka di Shah Alam pada pukul 2 petang tadi.

Menurut sumber, suspek yang merupakan pengurus kawalan kualiti atau analisis kualiti (QA&QC) projek tersebut ketika itu disyaki telah meminta dan menerima rasuah sebagai upah melantik syarikat sub-kontraktor kepada kontraktor utama bagi menjalankan kerja-kerja tersebut.

"Pembayaran rasuah tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat  isterinya sebagai upah bagi melantik Syarikat berkenaan bagi melaksanakan projek tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

"Setakat ini pihak kami telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes ini dan 12 rakaman pernyataan telah diambil daripada individu-individu berkaitan," ujarnya.

Kedua-dua suspek dijangka akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Nota: Berita lanjut esok

Comment