Semangat Malaysia Madani digambarkan melalui amalan rumah terbuka
14:05 May 11, 2023  |  By SabahKini2
Semangat Malaysia Madani digambarkan melalui amalan rumah terbuka

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, amalan rumah terbuka mampu merapatkan lagi hubungan semua rakyat yang sedia terjalin selama ini.

SANDAKAN: Majlis rumah terbuka yang diadakan setiap kali musim perayaan adalah gambaran semangat Malaysia Madani dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, amalan itu mampu merapatkan lagi hubungan semua rakyat yang sedia terjalin selama ini.

Katanya, semua rakyat perlu mengambil peluang untuk mengeratkan lagi hubungan sesama mereka ketika hadir dalam majlis rumah terbuka tersebut.

“Misalnya, sambutan rumah terbuka Aidilfitri yang diraikan ketika ini bukan sahaja dihadiri oleh umat islam semata-mata, tetapi ia turut dikongsi semua rakyat tanpa megira etnik, agama dan budaya.

“Saya yakin amalan ini pasti akan memberi impak yang sangat besar terhadap keharmonian negara secara keseluruhannya,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang, kunci utamanya adalah kerja secara berpasukan tidak mengira pangkat, bangsa dan agama.

Menurutnya, kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana ia saling bergantung dari segi kepakaran, keupayaan, kemahiran dan bersedia melaksanakan tugasan secara bersama.

Dalam pada itu, Joachim berkata, kedatangan aidilfitri merupakan kesempatan untuk saling melupakan perselisihan dan persengketaan yang pernah berlaku sebelum ini.

“Ambillah peluang ini untuk kita saling bermaafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin di setiap organisasi.

“Harapan saya, dengan adanya majlis ini, ia dapat mewujudkan satu semangat muhibbah dan harmoni kepada semua warga MPS.,” katanya.

Katanya, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MPS mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan mutu perkhidmatan dan prasarana di daerah ini sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

“Saya menyarankan agar semua pihak memberikan komitmen yang tinggi bagi mencapai matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Syabas dan tahniah kepada pengurusan MPS dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis yang cukup bermakna ini,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais dan Presiden MPS, Henry Idol.

Comment