KUSKOP dan agensi capai pelbagai kejayaan 4 bulan pertama 2023
16:05 May 12, 2023  |  By SabahKini2
KUSKOP dan agensi capai pelbagai kejayaan 4 bulan pertama 2023

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian itu menunjukkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan Koperasi merancakkan aktiviti perniagaan ke arah meningkatkan kestabilan sektor keusahawanan.

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensi dibawahnya berjaya mencapai pelbagai kejayaan memberangsangkan dalam aspek pembangunan kapasiti dan perluasan akses pasaran, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia termasuklah melalui Program Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang diterajui oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Selain itu katanya, Market Access Incentive (MASSIVE) dan Business Exports Programme (BEP) oleh SME Bank, Misi perdagangan ke Turkiye oleh SME Corp. Malaysia dan Kempen ‘Mari Beli Lokal’ turut berjaya dilaksanakan.

“Pencapaian itu menunjukkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan Koperasi kembali merancakkan aktiviti perniagaan ke arah meningkatkan kestabilan sektor keusahawanan melalui fasilitasi, bantuan dan peluang yang disediakan oleh KUSKOP dan Agensi, walaupun tahun 2023 baru sahaja memasuki bulan kelima. 

“Saya berharap prestasi ini akan lebih memberangsangkan pada separuh penggal kedua tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi, di Dewan Tun Abdul Razak Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini, semalam.

Ewon berkata, Program JMKU yang dilancarkan di seluruh negara memberi peluang kepada koperasi dan usahawan memasarkan produk keperluan asas pada harga berpatutan kepada komuniti dan masyarakat setempat selaras prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Sebanyak empat siri program JMKU dilaksanakan setakat April ini dan berjaya mencapai nilai jualan keseluruhan sebanyak RM1.9 juta. 

“Antara pencapaian tertinggi ialah JMKU Festival Ramadhan Putrajaya yang berjaya mencapai nilai jualan melebihi RM1.4 juta dengan penyertaan 20 koperasi dan usahawan yang memasarkan pelbagai produk keperluan harian dan sambutan Aidilfitri. 

“Terkini, kita baru sahaja selesai dengan JMKU Pesta Keamatan di Tamparuli, Sabah pada 6 dan 7 Mei 2023 lalu,” katanya.

Beliau berkata, melalui inisiatif MASSIVE dan BEP, iaitu program pemerkasaan jenama Halal Malaysia dalam penerokaan pasaran global, sebanyak 11 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merekodkan potensi jualan lebih RM300 juta di Gulfood 2023.

Selain itu katanya, misi perdagangan ke Turkiye dan Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI) melibatkan 10 syarikat PKS berjaya menjana RM1.1 bilion jumlah nilai dagangan. 

“Misi ini merupakan sebahagian daripada usaha SME Corp. untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan pra-eksport serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk menerokai pasaran global,” katanya.

Ewon berkata, kempen ‘Mari Beli Lokal’ yang dilaksanakan pada 22 Mac lalu di bawah platform keusahawanan digital MyMall yang kini mempunyai 467 peniaga aktif berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM2.58 juta.

Beliau optimis inisiatif dan intervensi yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian dan Agensi pada tahun ini akan memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

“Ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif yang kita sediakan akan terus memangkin usahawan, termasuklah koperasi untuk terus berkembang, berdaya maju dan berdaya tahan dalam mengharungi cabaran,” katanya.

Ewon berkata, setakat 30 April ini, pelaksanaan program di bawah Pelan Strategik KUSKOP bertemakan “Berdaya Maju, TransformatiF dan ResponsiF” atau “BFF”, telah mencapai 30 peratus kemajuan pelaksanaan, di mana, seramai 196,621 jusahawan, PMKS, koperasi, perusahaan sosial, start-up, usahawan informal serta belia dan graduan menerima manfaat daripada 185 program yang dilaksanakan.

Beliau yakin tahun 2023 akan memberi kejayaan yang lebih cemerlang dan terus membina satu pasukan KUSKOP yang komited memberi perkhidmatan terbaik.- SM

Comment