Cadangan PM tangani isu air bersih diterima baik kerajaan Sabah
15:05 May 16, 2023  |  By SabahKini2
Cadangan PM tangani isu air bersih diterima baik kerajaan Sabah

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, Sabah sudah memohon geran daripada kerajaan pusat untuk atasi masalah bekalan air bersih di Sabah dan menaik taraf sistem bekalan air di seluruh Sabah.

SANDAKAN: Kerajaan negeri menerima baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan segera masalah bekalan air bersih di daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, Sabah sudah memohon geran daripada kerajaan pusat bagi menangani masalah ini dengan segera.

Katanya, geran tersebut dipohon bagi menaik taraf sistem bekalan air di seluruh Sabah secara keseluruhannya.

“Kita menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan memang kita ada memohon geran bagi menaik taraf bekalan air di Sabah.

“Seterusnya, kita akan berbincang dengan Perdana Menteri, bagaimana kerajaan pusat dapat membantu menyelesaikan cabaran bekalan air yang ada di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau loji rawatan air Segaliud, semalam.

Terdahulu, pada Ahad, Perdana Menteri menegaskan akan membantu menyelesaikan isu bekalan air bersih yang masin di Sandakan.

Shahelmey berkata, dua unit pam air sudah ditambah di loji rawatan air Segaliud, menjadikan pam di loji tersebut sebanyak tiga buah ketika ini.

“Penambahan pam tersebut bagi memastikan kerja-kerja mengepam air dijalankan lebih cepat dan sekali gus tahap bacaan air loji dapat ditingkatkan.

“Langkah yang diambil itu juga diyakini mampu menyelesaikan isu bekalan air bersih di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, level empangan air di Segaliud juga dilihat naik hampir setengah meter setelah pengepaman ini dilakukan secara berterusan.

“Saya harap kerja-kerja pengepaman ini dapat diteruskan lagi dan semoga kenaikan air di empangan Segaliud dapat mencairkan klorida,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey turut memaklumkan bahawa catuan air di daerah ini berkemungkinan terpaksa dilakukan berikutan fenomena el-nino yang dijangka melanda pada bulan Jun atau Julai depan.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini catuan masih belum dilakukan dan bekalan air bersih masih diagihkan seperti biasa.

“Catuan air mungkin dilakukan sekiranya fenomena el-nino berlaku bagi memastikan semua kawasan mendapat bekalan air bersih,” katanya.

Comment