Fenomena El Nino beri impak kepada pengeluaran minyak sawit Sabah dan pengendalian kargo Suria Capital
11:05 May 22, 2023  |  By SabahKini2
Fenomena El Nino beri impak kepada pengeluaran minyak sawit Sabah dan pengendalian kargo Suria Capital

MIDF Research berkata kemungkinan impak fenomena El Nino terhadap pengeluaran minyak sawit Sabah yang turut akan menjejaskan jumlah pengendalian kargo oleh Suria Capital Holdings Berhad.

MIDF Research kekal berhati-hati terhadap kemungkinan impak fenomena El Nino terhadap pengeluaran minyak sawit Sabah yang turut akan menjejaskan jumlah pengendalian kargo oleh Suria Capital Holdings Berhad.

Firma itu berkata, komoditi itu membentuk hampir 25% daripada jumlah kargo yang dikendalikan oleh pelabuhan di Pantai Timur Sabah.

"Jumlah eksport kontena dijangka menerima peningkatan tambahan daripada projek pelaburan mega di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) oleh Kibing Group (pengilang kaca) China dan SK Nexilis Korea Selatan (pengeluar kerajang tembaga untuk pengeluar bateri EV) daripada 4QFY23 seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, kumpulan itu melaporkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM16.4 juta pada 1QFY23.

Ia menyumbang 31%/32% daripada anggaran tahun penuh/konsensus firma itu.

Firma itu menganggap ia selari dengan jangkaan buat masa ini, dengan mengambil kira kemungkinan pengurangan pengeluaran pelabuhan pada suku akan datang disebabkan oleh potensi kesan fenomena El Nino ke atas pengeluaran minyak sawit negeri.

Firma itu berkata, hasil perniagaan operasi pelabuhan utama meningkat sebanyak 5.7% walaupun terdapat penurunan dalam jumlah kontena (-2.6%) dan konvensional (-11.7%).

Katanya, ia mungkin disebabkan oleh semakan menaik dalam caj sewa kren kontena yang berkuat kuasa pada 3QFY22.

"PATAMI teras meningkat sebanyak +66.7% selepas tidak termasuk pembalikan kerugian rosot nilai RM10.2 juta yang berlaku pada 4QFY22," katanya.

Firma itu menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'neutral' berbanding 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.30 sesaham. - DagangNews.com

Comment