Sabah catat pungutan hasil cecah RM6.960 tahun 2022
15:05 May 22, 2023  |  By SabahKini2
Sabah catat pungutan hasil cecah RM6.960 tahun 2022

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, ia merupakan rekod pungutan hasil tertinggi selepas kejayaan signifikan yang dikecapi pada tahun 2021 dengan pungutan hasil sebanyak RM5.449 bilion iaitu peningkatan sebanyak 28%.

Kota Kinabalu: Sabah berjaya melakar sejarah apabila pungutan hasil pada tahun lalu telah direkodkan mencecah RM6.960 bilion meskipun ekonomi negeri masih dibelenggu oleh persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, ia merupakan rekod pungutan hasil tertinggi selepas kejayaan signifikan yang dikecapi pada tahun 2021 dengan pungutan hasil sebanyak RM5.449 bilion iaitu dengan peningkatan sebanyak 28 peratus.

“Sungguhpun demikian, jentera pentadbiran negeri Sabah tidak boleh merasa selesa dengan kejayaan ini.  Justeru, semua jabatan pemungut hasil negeri hendaklah melipatgandakan usaha ke arah pungutan hasil yang lebih tinggi pada tahun ini melalui penjanaan hasil baharu yang inovatif.

“Di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri mengambil pendekatan meningkatkan hasil melalui kekuatan dan peluang yang ada dan pada masa yang sama mengelakkan ketirisan hasil dengan mengamalkan tadbir urus negeri yang baik.

“Perjanjian dengan Petronas: Commercial Collaboration Agreement (CCA) dimeterai yang berprinsipkan Greater Say, Greater Participant, Greater Revenue. 

“Melalui kolaborasi ini, negeri Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil, penyertaan dan penguasaan yang lebih besar berkaitan minyak dan gas,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Kerajaan Negeri sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ke-16 di DUN Sabah di sini hari ini.

Justeru itu katanya, Kerajaan Negeri melalui Sabah Energy Corporation (SEC) iaitu Syarikat Berkaitan Kerajaan Sabah telah menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dengan Petronas yang menjadikan SEC sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di negeri ini.

Tambahnya, langkah itu akan membantu negeri Sabah untuk maju ke hadapan dalam meneroka potensi penuh rantaian industri gas asli di negeri ini.

“Strategi pemboleh daya polisi fiskal terus dikembangkan dengan peluasan skop percukaian produk petroleum kepada produk Petrochemical iaitu Ammonia dan Urea yang telah menyumbang hasil tambahan. 

“Melalui inisiatif ini, royalti dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada sektor minyak dan gas dijangka mencecah RM2.45 bilion setahun.

“Selanjutnya, Kerajaan Negeri melalui SMJ Sdn. Bhd. telah menandatangani Perjanjian Dasar Induk bersama PETRONAS Chemicals Group Berhad bagi pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd. (PC FSSB) yang akan membuahkan perkongsian keuntungan yang lebih besar kepada negeri Sabah dalam industri minyak dan gas di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Juhar berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa hak-hak negeri dalam tuntutan hasil serta keperluan dan kepentingan rakyat Sabah akan sentiasa diutamakan dan diperjuangkan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Katanya, pada Disember 2022, Sabah menerima berita gembira apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memindahkan kuasa kawal selia tenaga bekalan gas kepada Kerajaan Negeri.

“Sehubungan itu, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah ditubuhkan melalui Enakmen Bekalan Gas Sabah yang mula berkuat kuasa pada 10 Januari 2023,” katanya. – SM

Comment