Rais terikut-ikut dan tak baca habis kenyataan saya- Salleh
13:03 Mar 06, 2018  |  By SabahKini2
Rais terikut-ikut dan tak baca habis kenyataan saya- Salleh

Tidak ada dalam kenyataan saya yang saya ini jurucakap kepada Jho Low, bukan sedemikian. Mungkin dia Rais lihat dalam satu aspek sahaja dan bukan keseluruhan kenyataan tersebut

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Salleh Said Keruak menasihatkan Tan Sri Rais Yatim tidak terpengaruh dengan dakwaan disebarkan di media sosial dan membaca keseluruhan kenyataannya berhubung rampasan kapal mewah Equanimity di Bali sebelum memberi komen.

Menteri komunikasi dan multimedia itu juga menafikan beliau ialah jurucakap kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, sebaliknya kenyataannya berhubung kapal mewah itu dibuat berdasarkan fakta.

“Tidak ada dalam kenyataan saya yang saya ini jurucakap kepada Jho Low, bukan sedemikian. Mungkin dia (Rais) lihat dalam satu aspek sahaja dan bukan keseluruhan kenyataan tersebut.

“Fakta berkata sedemikian tidak lebih daripada itu. Tapi mereka ini buat rumusan seolah-olah saya telah tentukan siapa pemiliknya.

“Saya pun hairan bagaimana mereka buat kesimpulan sedemikian. Saya rasa mereka tak baca keseluruhannya.

“Saya rasa mereka terpengaruh dengan apa yang diviralkan di media sosial saja. Ia tidak cerminkan apa yang saya katakan di kenyataan saya di blog mengenai perkara ini,” katanya

Sabtu lalu, Rais mendakwa Salleh beria-ria mempertahankan Jho Low, seolah-olah ahli perniagaan itu individu penting.

Penasihat sosiobudaya kerajaan itu berkata, Salleh sepatutnya mempertahankan keadilan, bukannya “cepat sangat menidakkan kapal mewah Equanimity bukan milik Jho Low”.

Ia selepas Salleh membidas pembangkang menggunakan “berita palsu” berhubung isu rampasan itu untuk mengelirukan rakyat, Khamis lalu.

Beliau berkata, hakikatnya ialah dakwaan dalam saman sivil DoJ itu tidak membuktikan Jho Low ialah pemilik kapal itu atau ia dibeli dengan dana 1MDB.

Hari ini, Salleh mengulangi apa yang terkandung dalam dokumen dan saman sivil DoJ hanya dakwaan yang belum dibuktikan di mahkamah.

“Jika kita lihat dokumen yang ada, termasuk dokumen saman DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat), dinyatakan ia tuduhan saja siapa pemilik tersebut dan tidak ada bukti bahawa 1MDB terlibat untuk biaya pembelian kapal tersebut.

Salleh yang juga bendahari agung Umno itu yakin isu rampasan kapal mewah itu tidak akan menjejaskan kempen Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

“Seperti biasa, kita akan fokus terangkan pada rakyat apa yang kita lakukan dan kita beri keyakinan pada rakyat, BN adalah parti politik yang akan tentukan kestabilan negara dan beri peluang pelajaran, ekonomi dan pekerjaan.”

Rabu lalu, polis Indonesia menyita kapal mewah Equanimity di Bali yang dicari DoJ atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI).

1MDB sendiri mengesahkan syarikat itu tidak pernah kehilangan wangnya dan tiada asas untuknya menuntut kembali wang yang bukan miliknya. Malah Arul Kanda CEO 1MDB menjelaskan Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB.

"Jho Low tiada sebarang aktiviti di dalam syarikat, beliau tidak dibayar oleh syarikat dan tidak diberikan apa-apa tugas untuk syarikat,” kata Arul Kanda pada 26 Mac 2016.

Blogger terkenal Lim Sian See menulis apa kena mengena 1MDB dengan Jho Low.1MDB hanya pernah berurusan dengan IPIC.

1MDB hanya mementingkan bahawa IPIC dan Aabar tulen akan bayar balik duit itu selepas tempoh guarantee bon-bon itu tamat kerana wang ini dibayar sebagai security deposit kepada IPIC.

Oleh itu, tuntutan 1MDB ialah wang yang diberi kepada IPIC - bukan apa yang IPIC beli dengan duit ini. Apa saja urusan IPIC dengan Jho Low bukan urusan 1MDB.

Jadi menjadi persoalan bagaimana Rais Yatim yang mahir undang-undang boleh menerima tuduhan kapal Jho Low itu milik Jho Low yang punyai kaitan dengan 1MDB sedangkan FBI sendiri belum membuat dakwaan di mahkamah sejak 2 tahun lalu.

Sementara Polis Indonesia mengesahkan kerjasama siasatan berhubung rampasan kapal layar mewah Equanimity milik ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low tidak melibatkan Malaysia.

 

Timbalan Pengarah Jenayah Ekonomi dan Khas Indonesia Daniel Silitonga berkata Indonesia hanya diminta Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) untuk mengesan dan menahan kapal itu.

“Indonesia hanya diminta untuk kesan dan sita untuk boleh diserahkan kepada negara peminta (AS) mengikut undang-undang (AS). “Siasatan tidak melibatkan pemilik kapal (Jho Low).

“Siasatan kami hanya melibatkan permintaan rasmi dari FBI dan Amerika,” katanya

Jadi apa asas Rais Yatim menuduh Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai jurucakap kepada Jho Low?

 

14 Comments