Sabah bentang enakmen sebelum akhir tahun ini – Hajiji
14:05 May 24, 2023  |  By SabahKini2
Sabah bentang enakmen sebelum akhir tahun ini – Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap permohonan tenaga elektrik di Sabah akan dirujuk kepada Suruhanjaya Tenaga di Persekutuan.

KOTA KINABALU: Enakmen bekalan tenaga elektrik di Sabah dicadangkan akan dibentang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum akhir tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, buat masa ini, setiap permohonan tenaga elektrik di Sabah akan dirujuk kepada Suruhanjaya Tenaga di Persekutuan.

"Kerajaan negeri akan mengambil alih Suruhanjaya Tenaga Elektrik pada 1 Januari 2024 untuk mendapatkan kuasa dan menentukan dasar, tarif serta kelulusan kepada semua permohonan.

"Tetapi sehingga hari ini, semua permohonan kita akan kemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga Elektrik di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai enakmen selepas kuasa kawal selia bekalan elektrik diambil alih Sabah dari kerajaan Persekutuan pada Persidangan DUN di sini hari ini.

Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jumlah besar tenaga solar yang beroperasi di dalam grid Sabah adalah sekitar 146 Megawatt (MW) iaitu 11 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan seluruh grid Sabah.

Katanya, jumlah kapasiti tenaga solar yang dijana di negeri ini adalah sebanyak 84 MW iaitu terdiri daripada Projek Solar Berskala Besar iaitu projek solar melebihi satu MW yang berjumlah sebanyak 50 MW dan beroperasi sejak 2018 di Kudat.

Selain itu jelasnya, ia turut melibatkan Projek Solar Photovoltaic (Solar PV) di bawah skim 'Feed-in Tariff' yang berkapasiti satu MW dan ke bawah berjumlah 34 MW terdiri daripada 796 pepasangan jenis individu, komersial dan komuniti.

Menurutnya, kapasiti Solar Berskala Besar yang sedang dalam pelaksanaan adalah 62 MW dan dijangka siap pada 2024 di beberapa lokasi.

"Ia termasuk satu projek di Beaufort berkapasiti enam MW dan satu projek di Kunak berkapasiti lima MW, masing-masing dua projek di Sandakan berkapasiti 20 MW dan Labuan berkapasiti 15 MW, serta tiga projek di Tawau dengan jumlah kapasiti 16 MW," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Dilantik Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mengenai jumlah MW tenaga solar yang dijana di Sabah dan sasaran tenaga solar yang diperlukan di negeri ini.

Nizam berkata, berdasarkan maklumat daripada 'Malaysia Renewable Energy Roadmap' (MyRER) yang dirangka oleh Pihak Berkuasa Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) pada 2021, potensi solar di negeri Sabah adalah terbaik di Malaysia membabitkan jumlah sebanyak 99,400 MW.

Katanya, ia berdasarkan kepada jumlah kesemua keluasan tanah tidak dibangunkan sebanyak 1,887 kilometer (km) persegi atau sekitar 2.6 peratus daripada jumlah keluasan tanah di Sabah bagi reka bentuk solar terpasang di permukaan tanah.

"Tetapi secara praktikal, sekiranya sebahagian kecil daripada keluasan tanah itu dibangunkan sebagai ladang solar, umpamanya satu peratus daripada 1,887 km persegi (iaitu sekitar 19 km persegi atau 4,600 ekar), ia boleh menghasilkan kapasiti solar sekitar 1,000 MW.

"Namun, bagi memastikan kestabilan grid Sabah, kapasiti tenaga solar yang boleh disambung dan disalurkan ke grid Sabah adalah dihadkan kepada 22 peratus daripada kehendak maksima sistem grid (iaitu dihadkan kepada 220 MW sahaja ketika ini).

"Sehubungan itu, sasaran tambahan kapasiti tenaga solar yang dirancang oleh kerajaan negeri pada masa akan datang adalah terhad iaitu sekitar 100 MW sehingga tempoh 2027," jelasnya.

Comment