Wong Kok Vui kontraktor mengaku bayar RM16.2 juta dalam tempoh 11 tahun kepada Pengarah Jabatan Air Sabah
10:05 May 25, 2023  |  By SabahKini2
Wong Kok Vui kontraktor mengaku bayar RM16.2 juta dalam tempoh 11 tahun kepada Pengarah Jabatan Air Sabah

Teo sebelum ini dedah sistem kutipan komisen rasuah untuk Menteri, Pengarah, Jurutera air sekitar 10.75% daripada kontraktor. Hari ini Wong Kok Vui kontraktor dedah dah bayar RM16.2 juta kepada Ag Tahir Bekas Pengarah JANS selama tempoh 11 tahun!.

Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah Jabatan Air Negeri Sabah berkata beliau memberikan wang kepada pengarah agensi berkenaan ketika itu, Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib, RM1.35 juta setahun, bermula 2004 hingga 2015.

Katanya, tindakan itu sebagai tukaran diberikan kontrak kepada syarikatnya.

Wong Kok Vui @ Michael, 69, memberitahu Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, bahawa beliau mula membayar wang tersebut sebagai tanda “terima kasih” selepas Tahir dilantik sebagai pengarah agensi itu, pada 2003.

Wong berkata, pembayaran dibuat tiga kali setahun dengan setiap pembayaran melibatkan RM450,000, dan dianggarkan telah membayar Tahir sekitar RM16.2 juta keseluruhannya.

Beliau berkata, dana disalurkan itu sebagai penghargaan kerana memperuntukan kontrak kepada syarikatnya, Bintang Jaya Enterprise.

“Jika saya tidak memberikan dia wang, besar kemungkinan saya tidak mampu mendapatkan sebarang kontrak daripada pihak jabatan. Selepas memaklumkan kepada dia sehari sebelum, kami kebiasaaan akan bertemu berdekatan resort golf. Saya akan masuk ke keretanya dan meletakkan wang dalam beg plastik di lantai keretanya.

“Jika kami ada kelapangan, kami akan minum kopi di sana sekitar 20 minit seperti itu, tetapi kami tidak pernah berbincang berhubung wang sumbangan. Hanya cakap-cakap kosong.

“Saya fikir saya sudah meraih lingkungan RM12 juta keuntungan bersih daripada projek diberikan kepada saya,” katanya.

Tahir, 58, sedang dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 55, dan bekas timbalan pengarah jabatan air negeri, Lim Lam Beng, 66.

Pada 29 Dis 2016, ketiga-tiga mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM61.57 juta.

Bekas timbalan pengarah jabatan, Teo Chee Kong, yang pada mulanya merupakan suspek utama dalam kes berkenaan, dibebaskan daripada 146 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM32.93 juta, pada Mac 2022.

Pendedahan Teo Chee Kong

Pada pertengahan januari lalu Teo mendedahkan rasuah yang bersarang di Jabatan Air Negeri Sabah bermula dari Kementerian, Pengarah, Jurutera Air Bahagian (JAB) sehinggalah ke Jurutera Air Daerah.

[ARTIKEL BERKAITAN-  Skandal Jabatan Air Sabah: Teo dedah sistem kutipan komisen rasuah untuk Menteri, Pengarah, Jurutera air ]

Teo Chee Kong mengesahkan Ag Mohd Tahir Mohd Talib dalang di belakang sistem kutipan berpusat komisen "sumbangan" dikutip daripada kontraktor jabatan air atau pembida yang Berjaya. Ia sebuah kutipan rasuah praktik sejak 1989 di jabatan air.

Beliau mengaku dari 1998 hingga September 2003, beliau telah mengumpul wang (mengambil rasuah) daripada syarikat yang sudi menyumbang dan menyerahkan kutipan kepada Pengarah (lima peratus), Juruukur Bahan (tiga peratus), Ketua Jurutera Air, seorang akauntan (satu peratus).

Skim itu kemudiannya disusun semula oleh Ag Mohd Tahir Mohd Talib dengan sumbangan rasuah 10.75 peratus kepada kontraktor terlibat. Pembahagian komisen rasuah itu seperti berikut;

 

 Agaknya rasuah komisen sekarang masih 10.75%

Teo berkata arahan Mohd Tahir supaya semua jurutera bahagian dan jurutera daerah mematuhi sistem pengumpulan berpusat telah disampaikan semasa mesyuarat tindakan jurutera bahagian/daerah yang dipengerusikan oleh Teo pada 6 April 2005.

Surat pemberitahuan mesyuarat itu ditandatangani oleh Mohd Tahir, yang turut menyatakan ia akan dipengerusikan oleh Teo atas kapasitinya sebagai jurutera bahagian Kota Kinabalu.

Dalam pertemuan itu, kesemua sembilan jurutera bahagian dan jurutera daerah bersetuju dengan jadual yang akan dilaksanakan.

Beliau berkata yang hadir pada mesyuarat itu ialah beliau sendiri, (Kota Kinabalu), Chong Kek Fui (Sandakan), Mohd Azri Abdullah (Keningau), Petrus Augustine (Tawau), Chin Yun Shoing (Lahad Datu), Suhaimi Asbullah (Beaufort), mendiang Choo Kim Chu (Kudat), Tham Yin Foon (Kota Belud) dan Anthony Jullah (Ranau).

 

Kesemua sembilan jurutera tidak membantah dan bersetuju sebulat suara dan juga tidak menyuarakan sebarang ketidakpuasan hati, kata Teo sambil menambah tiada kakitangan lain untuk menjaga kerahsiaan.

Sistem kutipan berpusat tidak diminitkan kerana ia tidak rasmi dan sulit, kata Teo.

 

2 Comments