Rezab simpanan tunai Sabah cecah RM6.78 bilion – Hajiji
16:05 May 25, 2023  |  By SabahKini2
Rezab simpanan tunai Sabah cecah RM6.78 bilion – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rezab simpanan tunai itu, sebuah simpanan yang tidak akan digunakan kerajaan negeri kecuali dalam hal-hal tertentu, dan simpanan itu penting untuk kewangan negeri yang kukuh.

KOTA KINABALU: Rezab simpanan tunai kerajaan Sabah kini pada tahap RM6.78 billion, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rezab simpanan tunai itu, sebuah simpanan yang tidak akan digunakan kerajaan negeri kecuali dalam hal-hal tertentu, dan simpanan itu penting bagi memastikan kedudukan kewangan negeri pada tahap yang kukuh.

"Kita tidak gunakan untuk bayar gaji dan sebagainya. Tahun lepas perbelanjaan mengurus negeri dan pembangunan lebih RM5 billion, sedangkan pungutan hasil hampir RM7 billion.

"Maknanya, lain (perbezaan jumlah) masuk dalam rezab kita," katanya menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah atas ucapan dasar kerajaan.

Hajiji berkata peningkatan hasil negeri yang drastik sejak kebelakangan itu, suatu pencapaian yang membanggakan, namun dalam situasi kewangan kukuh kini beliau mengingatkan semua pihak bahawa ini bukan masa untuk berasa selesa dan berpeluk tubuh.

"Antara cabaran utama yang perlu kita hadapi ialah bagaimana untuk mengekalkan sumber hasil negeri, agar agenda pembangunan negeri dapat diteruskan selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya.

Beliau berkata kutipan cukai jualan negeri atas produk petroleum, telah menyumbang sejumlah RM4.21 bilion kepada hasil negeri, maka kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan dalam masa terdekat untuk menghentikan pelaksanaan cukai tersebut.

"Hasil daripada industri minyak dan gas mampu melipatgandakan pendapatan negeri agar lebih meningkat, kukuh dan mampan, yang sudah pasti akan dinikmati oleh semua lapisan rakyat di negeri ini," katanya.

Hajiji berkata penting bagi kerajaan negeri terlibat dalam perniagaan sektor huluan industri minyak dan gas, kerana industri huluan merupakan sumber kehidupan bagi industri minyak dan gas, yang mana kerajaan negeri telah memperoleh banyak faedah daripadanya.

Beliau berkata antara faedah diperoleh ialah peningkatan dalam faktor kewangan dan ekonomi, peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan Sabah, menggalakkan lebih banyak kontrak tempatan, selain meningkatkan tahap pengetahuan dan kualiti modal insan dalam industri itu, dalam kalangan rakyat Sabah.

Usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah atas ucapan dasar kerajaan itu kemudian diluluskan dengan suara terbanyak.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, selepas itu menangguhkan persidangan ke hari esok.

Comment