Kinabalu Nasional Geopark diisytihar sebagai Global Geopark oleh UNESCO
15:05 May 26, 2023  |  By SabahKini2
Kinabalu Nasional Geopark diisytihar sebagai Global Geopark oleh UNESCO

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini adalah pencapaian cemerlang kerajaan negeri dibawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Taman-Taman Sabah.

KOTA KINABALU: Sabah kini bangga dengan memiliki kawasan UNESCO 'Triple Crown' selepas Kinabalu Nasional Geopark diisytihar sebagai Kinabalu UNESCO Global Geopark.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengisytiharan seumpamanya adalah ketiga di dunia selepas Pulau Jeju di Korea dan Shennongjia, di China.

Katanya, keputusan pengisytiharan itu dibuat oleh Lembaga Eksekutif UNESCO di Paris pada 24 Mei lalu.

Menurutnya, dua lagi UNESCO 'Crowns' di Taman Kinabalu adalah Tapak Warisan Dunia (diisytihar pada 2 Disember 2000) dan Rizab Biosfera Banjaran Crocker UNESCO (diisytihar pada 12 Jun 2014).

"Ini adalah pencapaian cemerlang kerajaan negeri dibawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Taman-Taman Sabah.

"Kinabalu UNESCO Global Geopark merangkumi kawasan seluas 4,750 kilometer persegi, kini secara rasminya menjadi destinasi Global Geotourism sekali gus menambah nilai produk eko-pelancongan yang sudah sedia ada di Sabah.

"Geopark adalah habitat kepada pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan termasuk 90 spesis orkid yang hanya boleh ditemui di Gunung Kinabalu.

"Burung seperti 'the crimson-headed partridge bird' turut hanya didapati di kawasan itu dan tidak boleh ditemui di kawasan lain di dunia ini.

"Secara tidak langsung keunikan ini akan membawa manfaat kepada sosioekonomi Sabah khususnya sejumlah lebih 290,000 komuniti tempatan di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Ranau," katanya.

Menurutnya, dengan pengisytiharan Kinabalu Nasional Geopark sebagai UNESCO Global Geopark. Kini, sejumlah 195 geopark terdapat di dunia ini yang melibatkan 48 negara keseluruhan.

Jenama Geopark Global UNESCO mengiktiraf tapak warisan dan memberikan manfaat kepada komuniti tempatan dengan bersama-sama memulihara tapak berkenaan demi kepentingan bersama sekali gus pendekatan kepada pembangunan mampan.

Comment