Sabah Softwoods tetapkan penanda aras dalam pengurusan tanah lestari
15:05 May 26, 2023  |  By SabahKini2
Sabah Softwoods tetapkan penanda aras dalam pengurusan tanah lestari

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, syarikat berkenaan memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor perladangan di Sabah dengan membuktikan keupayaan dalam pengurusan tanah.

KOTA KINABALU: Sabah Softwoods Berhad sudah menetapkan penanda aras dalam kelestarian pengurusan tanah sekali gus menjadikan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) yang paling menguntungkan sejak penubuhannya 50 tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, syarikat berkenaan memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor perladangan di Sabah dengan membuktikan keupayaan dalam pengurusan tanah dengan maximumkan produktiviti, pada masa sama seimbangkan persekitaran serta landskap.

"Kejayaan dalam penyelidikan dan pembangunan, pengurusan perladangan serta pemuliharaan alam sekitar adalah sesuatu yang sangat membanggakan," katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-50 Sabah Softwoods Berhad di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai salah sebuah GLC utama negeri ini, Sabah Softwoods Berhad sudah memberikan sumbangan besar dari segi pembayaran dividen kepada kerajaan negeri.

Katanya, usaha itu membolehkan syarikat induknya, Innoprise Corporation Sdn Bhd menjadi peneraju dalam bidang perladangan di Sabah.

"Syarikat berkenaan juga sering membantu negeri dari segi menyokong usaha mempromosi pendidikan Yayasan Sabah, pemuliharaan alam sekitar serta pelbagai program sosial yang bermanfaat kepada rakyat Sabah.

"Saya berharap syarikat ini akan terus meneraju sektor perladangan bukan sahaja di Sabah tetapi juga peringkat nasional, seterusnya antarabangsa.

"Kita mesti sentiasa menjaga hutan di negeri ini agar ia dapat diwariskan kepada generasi masa depan," katanya.

Pada majlis yang sama, Hajiji turut melancarkan buku sempena dengan ulang tahun syarikat berkenaan.

"Kini, kita perlu memandang jauh ke hadapan bagi merealisasikan kejayaan negeri dan Sabah Softwoods untuk tahun-tahun akan datang.

"Kami berharap pengganti kami nanti akan terus mencapai standard pencapaian tertinggi dengan kejayaan lebih besar di masa hadapan," katanya.

Comment