Hajiji yakin masalah air di Sabah akan cepat selesai dengan bantuan Kerajaan Persekutuan
20:06 Jun 01, 2023  |  By SabahKini2
Hajiji yakin masalah air di Sabah akan cepat selesai dengan bantuan Kerajaan Persekutuan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaksanaan 6 program merangkumi 20 projek di seluruh negeri Sabah akan menggunakan dana bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin bantuan lebih RM320 juta daripada Kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan rancangan untuk menyelesaikan masalah air di negeri tersebut.

Menurutnya, dana itu akan digunakan untuk pelaksanaan enam program merangkumi 20 projek di seluruh negeri.

Jelasnya, ia termasuklah sembilan projek di bawah rancangan daerah bagi Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Hajiji berkata projek itu dijangka mengambil masa enam hingga 12 bulan untuk disiapkan.

Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Khamis, Hajiji turut berkongsi pelan kerajaan negeri untuk memastikan bekalan air mampan untuk jangka panjang.

Menurutnya, pelan itu merangkumi dua projek empangan di Papar dan di Upper Padas, Sipitang.

Perdana Menteri kemudian menggesa penubuhan segera pasukan petugas, terdiri daripada kementerian negeri dan persekutuan bagi mendapatkan pendekatan holistik dan cara terbaik.

Hajiji ketika pertemuan itu diiringi Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmy Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong.

Mereka memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai rancangan Sabah untuk menangani masalah bekalan air, di pejabatnya di Putrajaya pada pagi Khamis.

“Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Sumber Asli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

“Ia turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki bin Ali dan ketua-ketua jabatan serta agensi persekutuan yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.

Menteri Besar Kelantan, Dato Ahmad Yaakob dan rombongan rasminya turut hadir pada mesyuarat itu untuk memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai masalah bekalan air Kelantan.

Comment