Elon Musk atasi Arnault sebagai orang terkaya dunia
21:06 Jun 01, 2023  |  By SabahKini2
Elon Musk atasi Arnault sebagai orang terkaya dunia

Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk berjaya merampas gelaran orang terkaya dunia selepas menewaskan Arnault apabila saham dagangan di Paris milik Arnault susut kepada 2.6 peratus.

Washington: Elon Musk merampas kembali gelaran orang terkaya dunia apabila saham pemilik rangkaian barangan mewah terkemuka, LVMH Bernard Arnault, merosot.

Ketua Eksekutif Tesla itu berjaya merampas kedudukan itu selepas menewaskan Arnault apabila saham dagangan di Paris milik Arnault susut kepada 2.6 peratus.

Sebelum ini, Musk dan Arnault yang juga warga Perancis berusia 74 tahun itu menduduki tempat teratas tahun ini daripada senarai 500 orang terkaya dunia dalam Indeks Bilionair Bloomberg.

Arnault pertama kali mengatasi kedudukan Musk pada Disember lalu ketika industri teknologi bergelut untuk bertahan sedangkan segmen barangan mewah menunjukkan daya tahan dalam menghadapi inflasi.

LVMH yang diasaskan Arnault, memiliki jenama mewah termasuk Louis Vuitton, Fendi dan Hennessy.

Kepercayaan terhadap daya apungan sektor mewah mula pudar di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan terutama dalam pasaran kritikal China.

Namun, saham LVMH jatuh kira-kira 10 peratus sejak April lalu hingga Arnault kerugian AS$11 bilion (kira-kira RM50.75 bilion) dalam tempoh sehari.

Sementara itu, Musk memperoleh lebih AS$55.3 bilion (kira-kira RM255 bilion) tahun ini dengan sebahagian besarnya hasil daripada Tesla.

Syarikat pengeluar kereta yang berpangkalan di Austin itu menyumbang 71 peratus daripada kekayaan Musk, meningkat 66 peratus setakat ini.

Nilai kekayaan Musk kini dianggarkan kira-kira AS$192.3 bilion (kira-kira RM887.18 bilion), manakala Arnault memiliki AS$186.6 bilion (kira-kira RM860.88 bilion).

Comment