Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Benn Cumming berkata, skim itu akan mengurangkan masalah rakyat terperangkap dengan kaedah BNPL.
Wellington: Sebuah syarikat piza di New Zealand semalam melancarkan skim pembayaran unik 'AfterLife Pay' yang boleh dijelaskan selepas pelanggan meninggal dunia.
Lapor Newshub, skim menggunakan kaedah 'beli sekarang, bayar kemudian' (BNPL) itu membolehkan pelanggan membayar pesanan mereka selepas meninggal dunia.
Katanya, pelanggan terbabit menandatangani perjanjian yang boleh dikuatkuasakan secara sah yang menyemak semula wasiat mereka, untuk menangguhkan pembayaran sehingga selepas mereka meninggal dunia.
"Pelanggan mungkin mendapati skim ini luar biasa pada mulanya, tetapi Hell Pizza memberi jaminan kepada mereka tiada yuran atau penalti tersembunyi dikenakan," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Benn Cumming berkata, skim itu akan mengurangkan masalah rakyat terperangkap dengan kaedah BNPL.
"Kami melihat semakin ramai orang menggunakan skim (BNPL) ini untuk membeli barangan penting seperti makanan.
"Kami fikir ia mengambil langkah terlalu jauh apabila anda mempunyai restoran perkhidmatan pantas seperti kami yang diminta untuk menawarkan BNPL," katanya.
Katanya, pelanggan boleh menikmati piza mereka tanpa perlu memasukkan nombor akaun bank dengan segera, serta tanpa caj atau penalti bayaran lewat.
Skim ini pada mulanya akan dijalankan sebagai percubaan individu berusia 18 tahun ke atas layak memohon dengan hanya 666 orang akan dipilih sebagai peserta.
Tawaran itu juga dilanjutkan kepada 666 individu di Australia.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Perlindungan Pengguna New Zealand yang meneliti skim itu memberi amaran, skim terbabit berpotensi membuatkan orang ramai ketagihan dan menyebabkan masalah hutang.
"Jangan menggunakan sistem itu hanya untuk mendapatkan piza percuma," kata pihak berkuasa berkenaan.