Sempena HKN 2023, dua anugerah utama akan disampaikan
16:06 Jun 14, 2023  |  By SabahKini2
Sempena HKN 2023, dua anugerah utama akan disampaikan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, selain menghimpunkan gerakan koperasi dari seluruh Malaysia, HKN turut dihadiri pemimpin-pemimpin koperasi dari Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Singapura dan Thailan

Kota Kinabalu: Dua anugerah iaitu Tokoh Koperasi Negara dan Tokoh Koperasi Premier Negara bakal disampaikan sempena Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi dan Hari Koperasi Negara (HKN) 2023.

Program sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 itu akan diadakan di The Magellan Sutera Resort, pada 20 Julai depan dan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, selain menghimpunkan gerakan koperasi dari seluruh Malaysia, HKN turut dihadiri pemimpin-pemimpin koperasi dari Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Singapura dan Thailand.

Terdahulu, Ewon bersama rombongan kementerian dan bersama agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu di sini pagi tadi.

Turut mengiringi Ewon Ketua Setiausaha Kuskop Dato’ Sri Suriani Ahmad dan turut disertai Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Siti Azlin Ahmad Dauta, Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM Amran Abd Kadir, Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin dan Pengarah Bahagian Pembangunan Koperasi SKM Mohd Firdaus Hussin.

Kunjungan itu antaranya bertujuan memaklumkan dan seterusnya menjemput Tun Juhar menyempurnakan perasmian program berkenaan. 

HKN yang julung kalinya diadakan di Sabah  akan diadakan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) selama tiga hari bermula 21 Julai. 

Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara akan diadakan pada 22 Julai (Sabtu).

Seramai 5,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis itu. Pelbagai acara  disusun sepanjang HKN, antaranya ekspo dan pameran daripada gerakan koperasi melibatkan 200 pempamer produk dan perkhidmatan dari dalam dan luar negara.

Selain itu, turut diadakan Forum Perdana, Pameran Kerjaya, Padan Niaga dan Jualan Murah MADANI.

Comment