Jelajah Wanita GRS akan dilancarkan Hajiji pada 23 Julai
14:06 Jun 27, 2023  |  By SabahKini2
Jelajah Wanita GRS akan dilancarkan Hajiji pada 23 Julai

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata dijangka lebih kurang 500 Wanita GRS seluruh Sabah akan hadir pada majlis pelancaran yang diadakan di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan jelajah yang meliputi enam zon di Sabah dan dijangka akan dilancarkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS pada 23 Julai depan.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata dijangka lebih kurang 500 Wanita GRS seluruh Sabah akan hadir pada majlis pelancaran yang diadakan di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).


Enam zon itu ialah Zon 1 (Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat); Zon 2 (Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan); Zon 3 (Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang); Zon 4 (Ranau, Keningau, Tenom, Pensiangan); Zon 5 (Beluran, Kinabatangan, Libaran, Batu Sapi, Sandakan) dan Zon 6 (Lahad Datu, Semporna, Tawau, Kalabakan).


Beliau berkata untuk permulaan Jelajah Wanita GRS di enam zon akan dimulakan di peringkat negeri yang akan diadakan pada 23 Julai ini dan selepas itu di setiap zon yang akan dihadiri oleh Wanita GRS di setiap zon.


Beliau berkata demikian semasa mempengerusi Mesyuarat Wanita GRS di Pejabat GRS Alamesra semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Flovia Ng (STAR); Datin Malianah Ugau (PBS), Norizah Mohammad Noor (SAPP), Puan Sri Diana Diego (USNO); Glenna Wong Kuen Yin (LDP); Norizian Dumit (PHRS); Penolong Setiausaha GRS, Salmah Sait serta ahli jawatankuasa GRS Wanita Sabah.


Azizah semasa mesyuarat itu turut mengalu-alukan penyertaan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan LDP dalam GRS baru-baru lalu.


“Wanita GRS akan terus turun ke akar umbi bagi memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya akan datang.


"Wanita GRS menyokong penuh kepimpinan Hajiji selaku Pengerusi GRS dan Ketua Menteri kerana komitmen beliau terhadap agenda 'Sabah First' yang memastikan pembangunan sama rata untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.


“Wanita GRS turut menyatakan sokongan padu mereka kepada kerajaan GRS dan mengharapkan kerjasama erat terutamanya di peringkat akar umbi dan menyatukan lebih ramai rakyat Sabah untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan gabungan itu,” katanya.

Comment