Sabah tekad tangani isu pelaksanaan projek pembangunan
15:06 Jun 27, 2023  |  By SabahKini2
Sabah tekad tangani isu pelaksanaan projek pembangunan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan memastikan projek pembangunan berkenaan akan menepati hasil dan objektif yang ditetapkan serta memberi manfaat seperti yang diharapkan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk menangani isu-isu pelaksanaan projek pembangunan di Sabah dengan memastikan projek serta program pembangunan dilaksanakan mengikut jadual.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan memastikan projek pembangunan berkenaan akan menepati hasil dan objektif yang ditetapkan serta memberi manfaat seperti yang diharapkan.

"Beberapa langkah telah diambil bagi mengatasi isu-isu yang menghalang pencapaian pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sabah, antaranya, memperkasakan pemantauan secara berterusan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO).

"Kerajaan Negeri juga berharap agar peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan dapat disalurkan ke satu akaun amanah yang akan dipantau oleh kerajaan negeri.

"Cadangan ini adalah bagi memastikan peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan di negeri ini dapat dibelanjakan sepenuhnya dan tidak luput sekiranya tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa, berikutan isu-isu pelaksanaan yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSPRMKE-12), Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa untuk mengurus projek-projek pembangunan yang bernilai RM50 juta ke bawah kepada kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri juga mengalu-alukan keputusan kerajaan persekutuan yang mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP 182).

"Saya yakin keputusan ini tidak hanya dapat mengurangkan kerenah birokrasi, malah dapat mempercepat serta merancakkan lagi pembangunan di Sabah, khususnya bagi memenuhi keperluan kemudahan dan infrastruktur asas, yang seterusnya akan meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini," katanya.

Justeru, Hajiji menyeru agar semua pihak khususnya kementerian, jabatan dan agensi negeri memanfaatkan mandat yang telah diberikan kepada kerajaan negeri untuk memastikan program-program pembangunan dirancang dan dilaksana dengan bermatlamatkan kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Beliau percaya dengan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang padu, pembangunan negeri dalam pelbagai sektor dapat dipacu ke tahap lebih tinggi, seterusnya memberikan limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat di semua peringkat.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada kerajaan Persekutuan bagi menjayakan pelaksanaan RMKe-12 dan berharap hubungan baik diantara Persekutuan dan negeri akan terus kukuh bagi memastikan pembangunan serta kemakmuran ekonomi negara dapat dikecapi oleh semua lapisan.

Comment