Sabah dijangka mengalami pemulihan ekonomi hingga 5%
15:06 Jun 27, 2023  |  By SabahKini2
Sabah dijangka mengalami pemulihan ekonomi hingga 5%

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, unjuran itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan momentum pemulihan ekonomi dalam semua aspek bagi melonjakkan semula ekonomi Sabah.

KOTA KINABALU: Sabah dijangkakan akan mengalami pemulihan ekonomi negeri yang lebih baik dengan unjuran pertumbuhan positif pada kadar empat sehingga lima peratus bagi 2022 dan 2023.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, unjuran itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan momentum pemulihan ekonomi dalam semua aspek bagi melonjakkan semula ekonomi Sabah.

Menurutnya, ia termasuklah usaha merancakkan pelaksanaan program-program pembangunan, khususnya projek berimpak tinggi dan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Sabah.

"Meskipun berada dalam keadaan ekonomi global dan nasional yang tidak menentu, ekonomi Sabah pada masa ini berada pada landasan tepat ke arah pemulihan, apabila merekodkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada 2021, berbanding penguncupan sebanyak 9.2 peratus pada tahun sebelumnya.

"Pencapaian ini disokong oleh prestasi perdagangan negeri yang kukuh berikutan peningkatan positif aktiviti eksport Sabah," katanya pada Majlis Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSPRMKE-12), Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Sabah di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya. 

Hadir sama ialah Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli dan rombongan Kementerian Ekonomi, anggota pentadbiran negeri, penjawat awam negeri dan persekutuan, pemain industri serta ramai lagi.

Hajiji berkata, agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri pada masa ini dirangka berdasarkan Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri di bawah RMKe-12 bagi mencapai objektif 'Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan'.

Menurutnya, melalui Hala Tuju Strategik ini, tumpuan dan fokus pembangunan yang telah dirancang merangkumi semua sektor ekonomi dan sosial bagi memperkukuhkan pembangunan inklusif, meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengimbangi pembangunan wilayah, memperkasakan modal insan serta memastikan kemampanan alam sekitar.

"Ia selari dengan hala tuju dan matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). Kerajaan negeri berterima kasih dan menghargai komitmen kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan sejumlah RM 14.976 bilion peruntukan dibawah Rolling Plan 1(RP1) sehingga Rolling Plan 3 (RP3), RMKe-12.

"Peruntukan ini adalah bagi membiayai pelaksanaan sejumlah 3,436 buah projek pembangunan melalui pelbagai kementerian, termasuk 1,181 buah projek baharu dan sambungan yang diluluskan dibawah RP3.

"Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja akan merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri, malah akan memberi manfaat kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,".

Comment