Tuntutan Sulu terhadap Malaysia ditolak Mahkamah The Hague
21:06 Jun 27, 2023  |  By SabahKini2
Tuntutan Sulu terhadap Malaysia ditolak Mahkamah The Hague

Mahkamah Rayuan The Hague memaklumkan 'mahkamah menolak permintaan warga Filipina' untuk menuntut melaksanakan anugerah timbang tara bernilai AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia.

THE HAGUE: Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.

Penghakiman itu memaklumkan 'mahkamah menolak permintaan warga Filipina' untuk menuntut melaksanakan anugerah timbang tara tersebut.

Terdahulu, mahkamah itu bersidang sekitar jam 4 petang waktu Malaysia bagi membuat keputusan sama ada anugerah akhir yang dikeluarkan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa pada 2022 kepada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sulu boleh dikuatkuasakan di Belanda.

Pada 2019, kumpulan Sulu membawa perkara berkenaan kepada penimbang tara Sepanyol itu untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Stampa, yang dilantik penuntut itu pada 28 Februari 2022 membuat keputusan yang berpihak kepada mereka dan mengeluarkan anugerah akhir sebanyak AS$14.9 bilion terhadap Malaysia hasil daripada timbang tara tidak sah. Sebelum ini pelantikannya sebagai penimbang tara telah dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.

Pada 14 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini, penuntut Sulu mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di empat negara.

Ia melibatkan Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda, dan kerajaan Malaysia sudah dan sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan terhadap mereka.

Comment