Hajiji menyumbang 147 ekor lembu korban sempena Aidiladha
16:06 Jun 28, 2023  |  By SabahKini2
Hajiji menyumbang 147 ekor lembu korban sempena Aidiladha

Hajiji berkata, ibadah korban adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam dan dilakukan setiap tahun. Sumbangan daging korban diagihkan kepada golongan yang memerlukan membuatkan sambutan Hari Raya Aidiladha lebih meriah.

TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyumbang 147 ekor lembu kepada masjid, surau, jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersempena Aidiladha.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman menyerahkan lembu korban itu di perkarangan Masjid At-Taubah, Kampung Lok Batik di sini semalam.

Agihan lembu disampaikan kepada 34 buah masjid, 27 surau di Tuaran dan Tamparuli.

Turut menerima sumbangan ialah 12 buah agensi kerajaan serta 14 buah NGO di daerah terbabit.

Antara penerima sumbangan ialah Markas Angkatan Tentera Darat Kem Lok Kawi, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (Depot Tahanan Imigresen Papar), Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah (JPJ), Jabatan Penjara Malaysia, Pusat Latihan RELA Negeri, Kampus INTAN Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (Akademi), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Hajiji berkata ibadah korban adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam dan dilakukan setiap tahun.

“Sumbangan daging korban yang diagihkan kepada golongan yang memerlukan akan membuatkan sambutan Hari Raya Aidiladha lebih meriah,” katanya.

Turut hadir ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Saifulzaman Sangul serta Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah Datuk Norjeli Dais dan Pegawai Daerah Tuaran Mohd Hazlan Jamlee.

Comment