Penolakan mahkamah bukti waris Sulu tidak punya locus standi – Hajiji
16:06 Jun 28, 2023  |  By SabahKini2
Penolakan mahkamah bukti waris Sulu tidak punya locus standi – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan itu juga mengukuhkan lagi pendirian kerajaan Sabah bahawa perkara itu tidak mengiktiraf tuntutan waris Sulu.

KOTA KINABALU: Penolakan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda yang menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Kerajaan Malaysia membuktikan kumpulan berkenaan tiada locus standi menuntut Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata keputusan itu juga mengukuhkan lagi pendirian kerajaan Sabah bahawa perkara itu tidak mengiktiraf tuntutan pihak terbabit.

“Sabah berkongsi keyakinan dengan Kerajaan Persekutuan seperti dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya anugerah itu selepas keputusan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hajiji juga menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas tindakan tegas dalam melindungi kedaulatan Malaysia.

Katanya kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan sehingga apa yang dikatakan tuntutan terhadap Sabah oleh pihak Sulu dihapuskan.

1 Comment