Suhaimi dilantik sebagai Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Labuan baharu
17:07 Jul 18, 2023  |  By SabahKini2
Suhaimi dilantik sebagai Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Labuan baharu

Suhaimi menggantikan Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah yang kini mengisi jawatan sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

KOTA KINABALU: Mantan Ketua Staf Bahagian Operasi Laut, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik dilantik sebagai Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan baharu berkuatkuasa 10 Julai lalu.

Beliau menggantikan Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah yang kini mengisi jawatan sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.

Penyerahan tugas diadakan dalam satu Majlis Serah Terima Tugas yang disaksikan Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim di Ibu Pejabat Maritim Sabah dan Labuan di sini.

Saiful Lizan dalam ucapan beliau berkata momentum yang dihasilkan oleh pengarah sebelum ini perlu diteruskan. 

“Saya berharap agar Suhaimi dapat meneruskan pencapaian cemerlang Maritim Malaysia Sabah dan Labuan sekaligus membawa organisasi ini ke peringkat lebih tinggi selain terus komited dan bersiap siaga dalam apa jua keadaan,” katanya.

Bercakap lanjut beliau berkata Maritim Malaysia Sabah dan Labuan mempunyai cabaran besar berikutan negeri ini terletak pada kawasan geografi yang istimewa berbanding negeri-negeri lain dengan jumlah 492 pulau pada keluasan 84,003 kilometer persegi sepanjang persisir pantai 1,440 kilometer termasuk ESSCOM. 

“Maritim Malaysia Sabah dan Labuan dengan pimpinan Suhaimi sebagai pengarah baharu diharap akan memantapkan lagi operasi agensi ini dalam usaha memastikan keselamatan perairan negara khususnya perairan Sabah dan Labuan aman serta terkawal,” katanya.

Comment