Rakyat perlu bersatu sokong kerajaan demi kepentingan rakyat dan negeri – Hajiji
16:07 Jul 20, 2023  |  By SabahKini2
Rakyat perlu bersatu sokong kerajaan demi kepentingan rakyat dan negeri – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sokongan yang diberikan rakyat pada pilihan raya lalu perlu diperkukuh dan ditingkatkan lagi agar mendapat mandat yang lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

TUARAN: Rakyat perlu terus bersatu dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan GRS mempunyai kesungguhan untuk membawa kemajuan demi kepentingan rakyat dan negeri.

Menurutnya, sokongan yang diberikan rakyat pada pilihan raya lalu perlu diperkukuh dan ditingkatkan lagi agar mendapat mandat yang lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Saya amat menghargai sokongan padu rakyat selama ini tetapi saya mahu sokongan yang lebih kuat lagi pada masa akan datang, pada PRN yang akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Baru-Baru di sini semalam.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat mahu melihat sokongan rakyat terhadap kerajaan terus bertambah kuat bermula di peringkat PDM atau akar umbi.

Katanya, perjumpaan bersama rakyat, seperti perasmian mesyuarat cawangan Gagasan Rakyat itu adalah gambaran harapan terhadap sokongan berterusan kepada kerajaan.

Menurutnya, apabila ada perjumpaan ia menjadi simbol bahawa kerajaan berharap supaya rakyat bersatu hati menyokong GRS dan Gagasan Rakyat.

"Kita mesti berpijak di bumi yang nyata dengan menyokong kerajaan. Saya menghargai sokongan ini kerana bagi saya kampung di Sulaman penting lebih-lebih lagi sekarang sebagai Ketua Menteri.

"Justeru, saya minta rakyat tanpa mengira suku kaum atau agama untuk bersatu dan menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.

"Lain kali PRN jangan lagi panggil pemimpin pembangkang datang kerana wakil rakyat di sini ialah Ketua Menteri Sabah," katanya.

Beliau berkata, walaupun masih ada lebih dua tahun sebelum PRN Sabah diadakan, persediaan awal meningkatkan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat dan GRS perlu dilaksanakan dari sekarang.

Jelasnya, usaha itu penting berikutan ada kemungkinan juga PRN diawalkan, tertakluk kepada situasi politik semasa di negeri ini.

Sementara itu, Hajiji berkata, banyak usaha dilaksanakan di Kampung Baru-Baru bagi menambah keselesaan penduduknya terutama dari segi infrastruktur.

Katanya, selain jalan raya berturap dan bekalan elektrik yang sudah ada, usaha juga dilakukan untuk menyediakan bekalan air melalui sistem telaga tiub sebagai sumber alternatif.

Menurutnya, semua itu dapat dilaksanakan jika rakyat terus bersatu menyokong kepimpinan kerajaan sedia ada untuk melaksanakan pembaharuan dan pembangunan.

"Kalau kita bersatu, kita akan dapat kemajuan dan tidak lama lagi jalan Pan Borneo akan dibina melalui Kampung Baru-Baru ini iaitu dari Serusop ke Pituru Kota Belud," katanya.

Dalam pada itu, perasmian mesyuarat peringkat cawangan Gagasan Rakyat bagi PDM Baru-Baru itu adalah yang pertama di bahagian Sulaman yang diketuai Hajiji selaku Ketua Bahagian.

Sempena majlis itu, seramai 150 bekas ahli Parti Warisan (WARISAN) yang diketuai bekas Timbalan Ketua Wira WARISAN Tuaran Abdul Salim Nurbaya turut menyatakan sokongan terhadap Gagasan Rakyat.

Comment