Koperasi penyumbang ketiga terbesar ekonomi negara, rekod perolehan RM45.5 bilion
16:07 Jul 21, 2023  |  By SabahKini2
Koperasi penyumbang ketiga terbesar ekonomi negara, rekod perolehan RM45.5 bilion

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, gerakan koperasi membangun dengan pesat dan berjaya menjadikan sektor ini antara penyumbang penting dalam memberi manfaat kepada sosioekonomi masyarakat.

KOTA KINABALU: Koperasi yang sudah wujud lebih 100 tahun di negara ini kini mencatatkan sumbangan perolehan mencecah RM45.5 bilion menjadikannya penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata gerakan koperasi membangun dengan pesat dan berjaya menjadikan sektor ini antara penyumbang penting dalam memberi manfaat kepada sosioekonomi masyarakat. 

Katanya dalam tempoh satu abad ini, gerakan koperasi melalui pelbagai evolusi dan transformasi untuk menempa kejayaan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. 

“Salah satunya adalah kejayaan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) tersenarai dalam 300 koperasi terbaik dunia dengan kedudukan di tangga 244. 

“Bilangan koperasi juga melonjak sehingga 15,315 dengan jumlah keanggotaan sekitar 7.3 juta yang hampir menyamai bilangan isi rumah Malaysia berbanding hanya 11 koperasi didaftarkan pada 1922 dengan bilangan keanggotaan seramai 825 orang sahaja. 

“Sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran juga mencatatkan sehingga RM17 bilion dan penjanaan aset pula berjumlah RM160 bilion,” katanya semasa berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 di sini.

Majlis dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin 

Turut hadir isteri TYT, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Sri Suriani Ahmad dan Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Rusli Jaafar.

Pada majlis terbabit, Juhar turut menyampaikan dua anugerah utama masing-masing Anugerah Tokoh Koperasi Negara 2023 dan Anugerah Koperasi Premier 2023. 

Bercakap lanjut Ewon berkata bermula dengan matlamat asal penubuhan koperasi untuk membantu penduduk luar bandar menangani masalah hutang, gerakan koperasi kini mengorak langkah menceburi enam sektor ekonomi utama negara.

Katanya ia termasuklah sektor perkhidmatan kewangan, pemborongan peruncitan, perladangan, pelancongan, pembangunan hartanah dan industri pembinaan serta penjagaan diri dan kesihatan.

“Gerakan koperasi di Sabah umpamanya mempunyai potensi besar yang mampu menoktahkan kemiskinan tegar dalam mencapai matlamat Sabah Maju Jaya (SMJ) pada 2025. 

“Sabah mempunyai 1,707 buah koperasi yang berdaftar menjadikan Sabah negeri kedua tertinggi yang mempunyai bilangan koperasi selepas Selangor. 

Dengan keanggotaan sekitar 350 ribu orang, gerakan koperasi di Sabah berjaya merekodkan perolehan lebih kurang sebanyak RM570 juta,” katanya.

Beliau berkata penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) juga antara kejayaan yang dicatatkan dalam tempoh 100 tahun kewujudan gerakan koperasi.

“UKKM adalah universiti koperasi pertama di negara ini yang akan menerajui negara dalam melahirkan pelapis profesional modal insan koperasi. 

“Ini bagi memastikan sektor koperasi terus berdaya saing, dipimpin dan dianggotai oleh golongan yang kompeten, dinamik serta progresif,” katanya.

Menurutnya UKKM menawarkan program daripada peringkat diploma, ijazah sarjana muda sehingga sarjana dalam bidang pentadbiran dan keusahawanan.

Tambahnya 20 pelajar siri pertama MBA Pengurusan Koperasi juga diberi tawaran pada 23 Mei lalu.

“Pengambilan pelajar seterusnya akan dibuat pada September 2023 bagi program diploma dan ijazah.

“Kita perlu terus bekerja keras agar pencapaian yang kita kecapi dalam tempoh lebih 100 tahun ini tidak terjejas malahan terus mencapai pelbagai kejayaan di masa hadapan. 

“Saya optimis, dengan kerjasama pelbagai agensi dalam kementerian serta sokongan pelbagai pihak, kita dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap koperasi seterusnya menjadikan koperasi sebagai wadah pilihan rakyat,” katanya.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memilih Julai sebagai Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) untuk diraikan oleh warga koperasi seluruh negara selaras pengisytiharan hari Sabtu minggu pertama bulan Julai setiap tahun sebagai Hari Koperasi Antarabangsa (International Day of Co-operatives) oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (International Co-operative Alliance, ICA).

Perasmian Hari Koperasi Negara diadakan buat kali pertama di sini menjangkakan lebih daripada 200 gerai disediakan melibatkan aktiviti jualan produk dan perkhidmatan oleh koperasi-koperasi dari seluruh negara.

Comment