8 lelaki hilang ketika memancing ditemukan selamat
15:07 Jul 25, 2023  |  By SabahKini2
8 lelaki hilang ketika memancing ditemukan selamat

Difahamkan, semua mereka dikatakan keluar memancing dari Jeti Inderasabah ke kawasan sekitar kira-kira 22 batu nautika selatan muara Inderasabah iaitu di kawasan sempadan perairan Malaysia - Inderasabah, sejak Ahad.

TAWAU: Lapan lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing di perairan Inderasabah, di sini, ditemukan selamat, semalam.

Semua pemancing ditemukan oleh pasukan Carilamat di lokasi 7.6 batu nautika barat laut Pulau Sipadan, Semporna pada jam 5.35 petang.

Difahamkan, semua mereka dikatakan keluar memancing dari Jeti Inderasabah ke kawasan sekitar kira-kira 22 batu nautika selatan muara Inderasabah iaitu di kawasan sempadan perairan Malaysia - Inderasabah, sejak Ahad.

Menurut maklumat awal, bot berkenaan yang dijangka kembali pada hari yang sama terputus hubungan sebelum laporan dibuat.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, pihaknya yang menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 8.35 pagi.

Katanya, susulan itu, pihaknya bertindak mengaktifkan operasi Carilamat pada 10.15 pagi bagi mengesan bot dan semua pemancing yang gagal dihubungi.

“Aset bot peronda maritim yang berada dalam sektor operasi diaturgerak ke lokasi kejadian bagi mendapatlan maklumat dan mengesan kedudukan sebenar bot yang dilaporkan hilang.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut dibuka di Pos Maritim Inderasabah bagi mengumpul maklumat berkaitan mangsa yang terbabit,” katanya, semalam.

Menurutnya, maklumat turut disalurkan kepada agensi keselamatan pihak Indonesia bagi memaklumkan berkaitan kejadian itu.

Amiludin berkata, sebanyak empat aset diaturgerak pada hari pertama Ops Carilamat membabitkan 50 anggota dengan keluasan kawasan pencarian sehingga 10 batu nautika persegi.

Katanya, pasukan operasi mendapat makluman panggilan daripada salah seorang mangsa hilang yang memerlukan bantuan berkaitan bot dinaiki mengalami kerosakan enjin dan dihanyutkan.

“Mangsa yang berada di bot kemudian memaklumkan lokasi bot dan seterusnya diselamatkan oleh aset Carilamat ke Pos Maritim Inderasabah.

“Semua mangsa berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Terdahulu, operasi turut disertai oleh agensi-agensi keselamatan lain terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti setempat.

Lapan pemancing iaitu Hasbin Mahmud selaku juragan bot bersama Mapiase Palilu, Sabaruddin Sahuna, Mohd Fadlizan Japar, Abdul Razak Abd Rahman, Darwis Andi Permata, Kong Fun Voo@Mohd Yusof.

Semuanya warga tempatan manakala seorang lagi iaitu Luesanti Narksanga pemegang pasport warga asing.

Semua mangsa berumur dalam lingkungan 31 hingga 53 tahun itu dipercayai keluar memancing pada 7.19 pagi Ahad sebelum gagal dihubungi oleh ahli keluarganya.

Comment