Status Daerah Kecil Kiulu Buka Pintu Pembangunan Lebih Luas Untuk Rakyat - Tangau
11:03 Mar 08, 2018  |  By SabahKini2
Status Daerah Kecil Kiulu Buka Pintu Pembangunan Lebih Luas Untuk Rakyat - Tangau

Saya selalu membayangkan Kiulu, antara lain, boleh menjadi pintu masuk bagi ekopelancongan di negeri ini dengan wujudnya kemajuan digital dan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, saya mentauliahkan 12 menara komunikasi pintar (iComm) yang menyedi

KIULU (Sabah), 7 Mac- Pemberian status daerah kecil kepada Kiulu akan membuka pintu  kepada pembangunan  fizikal dan ekonomi lebih meluas yang diimpikan rakyat di daerah itu sejak sekiajn lama.

Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika menyampaikan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman kerana meluluskan permohonan  beliau dan Anggota Dewan Undangan  Negeri Kiulu Datuk  Joniston Bangkuai agar Kiulu diberi status itu, menyifatkan langkah tersebut sebagai tepat pada masanya.



"Inilah yang kami minta selama ini dan bekas pemimpin lain di sini. Kami  gembira kerana akhirnya, Kerajaan Negeri, melalui Ketua Menteri, bersetuju memberi status daerah kecil kepada Kiulu.

"Saya selalu membayangkan Kiulu, antara lain, boleh menjadi pintu masuk bagi ekopelancongan di negeri ini dengan wujudnya kemajuan digital dan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, saya mentauliahkan 12 menara komunikasi pintar (iComm) yang menyediakan wifi percuma dan pengawasan CCTV 24 jam di Kiulu. Ini baru suatu permulaan" katanya.

Pada  Selasa, Musa bersama-sama satu delegasi peringkat tinggi melakukan tinjauan mesra di bandar Kiulu, sebelum menuju ke Dewan Komuniti Kiulu di mana, selepas mendengar permohonan Tangau dan Bangkuai itu, terus memberi kelulusan untuk menjadikan Kiulu sebuah daerah kecil.

Tangau berkata kenaikan status Kiulu sebagai daerah kecil  juga dicadangkan pada dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Kiulu tahun lepas dan kini, kerajaan telah melaksanakan sekurang-kurangnya satu daripada aspirasi rakyat di sini.

Pengumuman  itu juga amat bersesuaian dengan pembinaan jalan raya berharga berbilion ringgit bagi menghubungkan Telipok dan Ranau melalui Kiulu.

Menurut beliau, pembangunan dijangka berlaku apabila jalan  berkenaan siap dibina dan jelas sekali, staus daerah kecil yang diberi kepada Kiulu merupakan suatu pemangkin ke arah pembangunan di daerah itu.

Sebagai kawasan dewan undangan negeri terbesar di kerusi parlimen Tuaran, selepas ini, penduduk Kiulu tidak perlu lagi ke Tamparuli untuk berurusan  dengan agensi kerajaan kerana sebuah bangunan sekretariat akan didirikan di pekan ini berikutan pemberian status itu.

Tangau, yang juga pemangku presiden Pertubuhan  Pasok  Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) juga gembira dengan keputusan Ketua Menteri meluluskan pelantikan semula Ketua Daerah Kiulu, yang kosong sejak sekian lama.

"Kami ada ketua daerah di Tuaran, tetapi adat dan tradisi antara Lotud (Tuaran) dan Kiulu amat jauh berbeza, oleh itu, kami amat memerlukan seorang ketua daerah berasingan bagi Kiulu," katanya.



Tangau berkata penyerahan hak milik tanah anak negeri kepada lebih 1,000 orang di empat kampung di sini oleh Ketua Menteri juga merupakan suatu sejarah kerana langkah itu mengakhiri penantian mereka selama 30 tahun.

Katanya, melalui bantuan dan sokongan kerajaan negeri dan persekutuan di bawah inisiatif dikenali  sebagai Program Mengukur Tanah Anak Negeri Sabah, lebih banyak tanah akan diukur dan dikeluarkan hak milik oleh Jabatan Tanah dan Ukur.

-- BERNAMA

Comment