Sabah catat jumlah dagangan tertinggi lepasi RM100 bilion
07:08 Aug 01, 2023  |  By SabahKini2
Sabah catat jumlah dagangan tertinggi lepasi RM100 bilion

Jumlah perdagangan Sabah meningkat 35.4 peratus kepada RM118.1 bilion pada 2022. Penyumbang utama eksport adalah petroleum mentah bernilai RM30.3 bilion, minyak kelapa sawit (RM21.1 bilion) dan gas asli cecair (RM5.2 bilion)

Jumlah perdagangan Sabah merekodkan pertumbuhan tertinggi iaitu meningkat 35.4 peratus kepada RM118.1 bilion pada 2022 berbanding RM87.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata eksport Sabah mengekalkan pertumbuhan positif sebanyak dua digit iaitu menokok 38.6 peratus kepada RM77.2 bilion berbanding 2021.

Seiring dengan pertumbuhan eksport, import Sabah juga mencatat peningkatan 29.6 peratus daripada RM31.6 bilion kepada RM40.9 bilion pada tahun 2022 dengan lebihan dagangan berjumlah berjumlah RM36.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak 50.4 peratus, katanya dalam kenyataan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah 2022, hari ini.

"Penyumbang utama eksport adalah petroleum mentah bernilai RM30.3 bilion, minyak kelapa sawit (RM21.1 bilion) dan gas asli cecair (RM5.2 bilion)," katanya.

Mohd Uzir berkata jumlah import disokong oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak RM12.4 bilion, produk makanan (RM6.4 bilion) manakala produk keluaran kilang (RM5.3 bilion).

Menurutnya, lima rakan utama yang menyumbang sebanyak 67.1 peratus kepada jumlah perdagangan luar Sabah adalah Semenanjung Malaysia iaitu 42.4 peratus, China (10.4 peratus), India (5.5 peratus) Kesatuan Eropah (4.7 peratus) dan Republik Korea (4.2 peratus). – Bernama

 

1 Comment