Penyeludupan masuk PTI dan ikan hidup digagalkan Maritim
16:08 Aug 03, 2023  |  By SabahKini2
Penyeludupan masuk PTI dan ikan hidup digagalkan Maritim

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata pihaknya menerima maklumat daripada bahagian perisikan berkenaan pergerakan sebuah bot dari kepulauan Mangsi yang dipercayai cuba membawa masuk PTI daripada negara jiran itu

KUDAT: Kegiatan sembilan Pendatang Tanpa Izin (PTI) warga Filipina yang cuba menyelinap masuk ke perairan negara berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat dalam satu operasi di sini.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata pihaknya menerima maklumat daripada bahagian perisikan berkenaan pergerakan sebuah bot dari kepulauan Mangsi yang dipercayai cuba membawa masuk PTI daripada negara jiran itu kira-kira jam 9.30 malam.

“Bertindak dengan maklumat, aset ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat yang sedang menjalankan rondaan OP Sejahtera segera digerakkan ke lokasi. 

“Dalam tempoh setengah jam kemudian, sebuah bot pam berjaya dikesan dalam keadaan bergelap menuju ke Simpang Mengayau diposisi kira-kira 0.7 batu nautika barat laut Pulau Kalampunian di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata bot yang dipenuhi dengan penumpang itu segera ditahan dan diperiksa. 

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai lapan individu lelaki termasuk pengendali bot dan seorang perempuan berumur lingkungan 11 hingga 59 tahun berada didalam bot berkenaan. 

“Sembilan suspek yang diperiksa itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Sementara itu beliau berkata sebuah bot nelayan tempatan turut ditahan dalam operasi berasingan kira-kira jam 5.35 petang hari sama.

“Bertindak dengan maklumat yang diterima daripada pihak Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Sabah sepasukan penguatkuasa digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan berkenaan pengesanan pergerakan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan memasuki perairan negara. 

“Bot berkenaan berjaya ditahan di posisi 3.05 batu nautika timur laut Tanjung Agong-agong dan hasil pemeriksaan mendapati dua individu warga Filipina mengendalikan bot terbabit. 

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, bot nelayan itu membawa muatan pelbagai jenis ikan hidup dengan anggaran berat 170 kilogram tanpa permit yang sah,” katanya.

Beliau berkata bot bersama individu serta barangan yang ditahan kemudian dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah sewaktu diperiksa bagi bot pam yang membawa PTI.

“Bot nelayan yang membawa masuk ikan hidup tanpa permit yang sah pula disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Comment