Rakyat diseru hayati patriotisme dan pupuk perpaduan
22:08 Aug 06, 2023  |  By SabahKini2
Rakyat diseru hayati patriotisme dan pupuk perpaduan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tema Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan adalah tepat kerana perpaduan kaum dan toleransi menjadi tonggak dalam memelihara kemerdekaan negara.

TUARAN: Kempen Hari Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang adalah platform terbaik bagi menghayati patriotisme serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tema Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan adalah tepat kerana perpaduan kaum dan toleransi menjadi tonggak dalam memelihara kemerdekaan negara.

Katanya, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perpaduan perlu terus dipupuk serta dilindungi kerana ia adalah cara untuk mencapai progresif pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik.

“Saya menyeru semua rakyat supaya sentiasa bersatu bagi melindungi dan mengukuhkan perpaduan di negara kita.

“Menjadi tanggungjawab setiap rakyat memastikan kemakmuran dan kemajuan sentiasa dinikmati serta tidak diganggu oleh anasir negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Merdeka Jalur Gemilang di Astaka Padang Tuaran di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan pembangunan yang dirancang di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya turut memerlukan sokongan padu daripada semua pihak.

“Dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat di semua peringkat dapat menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, selaras dengan Bulan Kebangsaan ini, semua rakyat digesa supaya mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang dan mengantikan bendera yang rosak.

“Marilah kita bersama-sama menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang serta identiti negara berdaulat,” katanya.

Terdahulu, Hajiji melancarkan Konvoi Kembara sebanyak 17 kenderaan daripada lapan agensi awam dan swasta melibatkan 66 peserta.

Tuaran diwakili 100 peserta membabitkan 25 kenderaan menuju ke Kiulu, Tamparuli dan seterusnya ke Kudat.

Konvoi anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah (JaPen) itu akan menempuh jarak 2,300 kilometer seluruh Sabah sehingga 31 Ogos nanti.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Pegawai Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd Datuk Jasnih Daya dan Pengerusi SESB Datuk Wilfred Madius Tangau.

Comment