Beliau memberitahu Bernama, bahawa walaupun Perlembagaan Amerika adalah berlandaskan prinsip kesamarataan dan keadilan, yang diguna pakai dalam melaksanakan dan menguatkuasakan semua undang-undangnya, tetapi Akta Perlucuthakan “kini diguna pakai secara terang-terangan sebagai alat untuk menindas dan melancarkan perang saraf ekonomi oleh satu demi satu pentadbiran Amerika bagi mencapai kehendak mereka terhadap negara lebih kecil".

Rozario juga menyokong pendapat Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak bahawa DoJ tidak menunjukkan sebarang "bukti  nyata" Jho Low adalah pemilik kapal mewah yang dirampas di Bali pada 28 Februari itu sebagai sebahagian daripada penyiasatan DoJ, yang bermula pada 2016, terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"DoJ belum membuktikan walau satu pun daripada dakwaannya di mahkamah keadilan, walaupun sudah hampir dua tahun berlalunya sidang akhbar sensasi yang diadakannya pada Julai 2016," kata Salleh.

Rozario berkata: "Hakikatnya ialah DoJ mahu merampas harta milik individu tertentu yang dikatakan  telah  menipu 1MDB, tetapi bukan harta 1MDB sendiri. Alasan itu sendiri adalah sesuatu yang meragukan sekiranya seseorang itu mengambil kira bahawa 1MDB bukanlah pihak yang membuat aduan terhadap individu berkenaan dan tidak pernah langsung mengemukakan sebarang aduan.