Kempen dianjurkan sempena dengan Hari Kewartawanan KKJA yang disambut setiap tahun pada bulan Ogos. Kempen itu dijayakan lagi dengan kerjasama daripada Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II.
KOTA KINABALU: Sejumlah 115 beg darah berjaya dikumpul pada Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) di sini pada Ahad.
Kempen dianjurkan sempena dengan Hari Kewartawanan KKJA yang disambut setiap tahun pada bulan Ogos. Kempen itu dijayakan lagi dengan kerjasama daripada Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II.
Kempen yang diadakan di tingkat empat Palm Square, Centre Point Sabah bermula pada jam 10 pagi dan tamat pada jam 5 petang.
Usaha itu turut mendapat pujian daripada Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Dr Roland Chia.
Roland berkata, anjuran kali kedua KKJA adalah inisiatif yang positif dalam usaha mewujudkan kesedaran kepada masyarakat awam mengenai keperluan bekalan darah untuk hospital di sini.
Katanya, tidak dinafikan hospital di seluruh negara mengalami kekurangan bekalan darah dan ada dalam kalangan hospital itu hanya mempunyai kurang 50 peratus bekalan itu.
"Oleh itu, Sabah khususnya memerlukan bekalan darah yang banyak untuk dibekalkan kepada pesakit terumatanya mangsa kemalangan, pesakit yang membuat pembedahan serta pesakit talasemia dan banyak lagi.
"Berdasarkan statistik pada 2020, Sabah mempunyai pesakit talasemia tertinggi dalam negara iaitu seramai 1,910 orang. Jumlah ini adalah daripada anggaran sejumlah 8,178 pesakit talasemia di seluruh negara," katanya ketika merasmikan Kempen Derma Darah KKJA 2023 di sini, semalam.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk tampil ke hadapan mencontohi usaha KKJA menganjur kempen derma darah.
Ronald juga berharap lebih banyak pusat beli belah mampu menyediakan tapak secara percuma kepada NGO melaksanakan aktiviti amal seperti kempen derma darah.
Sementara itu, Pengerusi KKJA Jimmy Goh menghargai pasukan dari Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II diketuai Dr Ong Soh Ying dan Dr Ang Seh En yang sentiasa memberikan sokongan kepada kempen seumpamanya.
"KKJA juga berterima kasih kepada semua penaja yang sudi menyokong Kempen Derma Darah KKJA 2023.
"Pandemik COVID-19 sebelum ini telah menyebabkan hospital kekurangan bekalan darah, KKJA percaya dengan usaha seumpamanya, KKJA mampu membantu masyarakat," katanya.
Pengerusi Penganjur Stephanie Lee turut berterima kasih kepada Centre Point Sabah yang menyediakan tapak secara percuma.
"Terima kasih kepada Hospital Queen Elizabeth II kerana memberikan sokongan padu...terima kasih juga diucapkan kepada Cha Yi Trading Sdn Bhd, Dong Sin Food Sdn Bhd, Wah Yoon Trading Sdn Bhd, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, PickNPay, UNE Trading Sdn Bhd, MYXO Company Sdn Bhd, KK Garden Seafood, Suria Capital Holdings Berhad, AI Chicken Rice Shop, Jambu King, K2 Water Sdn Bhd dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) atas sokongan yang diberikan.
"Menyelamatkan nyawa adalah lebih penting dan kempen derma darah dianjurkan ini sudah pasti akan membantu menyelamatkan ramai pesakit yang memerlukan bekalan darah dalam kadar segera," katanya.