Seramai 799,782 penerima STR di Sabah dengan peruntukan RM696.3 juta
14:08 Aug 08, 2023  |  By SabahKini2
Seramai 799,782 penerima STR di Sabah dengan peruntukan RM696.3 juta

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penerima STR tidak berdasarkan kategori mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

KOTA KINABALU: Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Sabah melibatkan jumlah penerima seramai 799,782 orang dengan peruntukan sebanyak RM696.3 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penerima STR tidak berdasarkan kategori mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, antara sebab permohonan STR tidak diluluskan kerana ia tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan seperti pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bagi isi rumah serta warga emas tiada pasangan dan melebihi RM2,500 bagi individu bujang.

Selain itu katanya, kegagalan pemohon untuk mengemukakan dokumen yang menunjukkan status perkahwinan atau perceraian turut menjadi faktor permohonan tidak diluluskan.

Beliau berkata, pemohon juga didapati tidak melepasi syarat individu bujang dan berstatus pelajar sepenuh masa.

Hajiji berkata demikian bagi menjawab soalan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) mengenai jumlah penerima STR di Sabah setakat 2023, khususnya di Kapayan dan faktor yang menyebabkan pemohon gagal mendapat bantuan berkenaan pada Persidangan DUN Sabah hari ini.

Katanya, senarai penerima STR DUN Kapayan diperoleh berdasarkan data penerima yang diekstrak berdasarkan maklumat alamat dan poskod yang dikemukakan oleh pemohon.

Menurutnya, bagi kawasan Kapayan, terdapat seramai 1,345 penerima membabitkan peruntukan kira-kira RM1 juta. 

"Fasa pertama pembayaran STR di negeri ini diterima pada Januari 2023 diikuti fasa kedua pada April 2023, fasa ketiga mulai 26 Jun 2023 dan fasa keempat dijangka pada November 2023.

"Setakat fasa ketiga, sejumlah RM494 juta pembayaran STR direkodkan di Sabah. Baki sebanyak RM202 juta akan disalurkan dalam fasa keempat.

"Penunaian STR dalam kalangan penerima yang tiada akaun bank boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang berdekatan sehingga 31 Disember 2023," jelasnya.

Beliau berkata, bagi memastikan STR juga dapat disampaikan kepada penerima khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kerajaan akan melaksanakan program penunaian di lapangan yang melibatkan daerah-daerah yang berkaitan bermula 3 Ogos sehingga pertengahan September 2023. 

Comment