Sabah ambil langkah awal guna peruntukan sendiri percepatan penyelesaian isu bekalan air
14:08 Aug 08, 2023  |  By SabahKini2
Sabah ambil langkah awal guna peruntukan sendiri percepatan penyelesaian isu bekalan air

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata, keputusan itu diambil bagi membiayai lapan projek bernilai RM182 juta yang diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah pada 13 Jun lalu.

KOTA KINABALU: Sementara menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi menangani krisis air di Sabah, kerajaan negeri mengambil langkah awal menggunakan peruntukan kewangan sendiri terlebih dahulu bagi mempercepatkan penyelesaian.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya berkata, keputusan itu diambil bagi membiayai lapan projek bernilai RM182 juta yang diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah pada 13 Jun lalu.

"Penyaluran peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan belum lagi dibuat. Namun demikian, kerajaan negeri Sabah bersetuju untuk memastikan Jabatan Air dapat memulakan program-program yang telah dirancang.

"Ini bukan isu teknikal. Hanya isu pemerolehan kewangan. Selepas mendapat keputusan daripada kabinet negeri Sabah, Jabatan Air bersedia untuk melaksanakan lapan inisiatif yang dipersetujui dengan Jawatankuasa Teknikal di peringkat Persekutuan," kata Shahelmey pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli DUN Dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee mengenai perkembangan peruntukan pembangunan khas bagi isu bekalan air di Sabah yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

Pada masa sama, menurut Shahelmey, baki 12 daripada 20 buah projek lagi tidak diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal berdasarkan kriteria Garis Panduan Penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Namun, kerajaan negeri menurutnya, telah memohon pertimbangan Jawatankuasa Teknikal Pasukan Petugas Khas Isu Bekalan Air Sabah agar meluluskan kesemua projek berkenaan bagi menyelesaikan isu air negeri tersebut secara menyeluruh untuk jangka masa pendek.

"Baki 12 projek tidak diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal kerana ia melibatkan operasi dan penyenggaraan berdasarkan kriteria yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Penyediaan RMK12 2021-2025.

"Namun begitu, jawatankuasa teknikal mengambil maklum hasrat kerajaan negeri Sabah untuk memohon pertimbangan Pasukan Petugas Khas meluluskan kesemua 20 projek jangka pendek.

"Ini kerana, kesemua projek tersebut adalah saling berkait dan ia akan menyelesaikan isu air dalam jangka masa pendek Sabah secara menyeluruh," tambah Shahelmey.

Ditanya mengenai status peruntukan RM320 juta yang diberikan kepada Sabah, Shahelmey menjawab perkara tersebut difahamkan bersifat pinjaman kos rendah dan bukannya geran 'one-off' daripada Kerajaan Persekutuan.

"Dalam mesyuarat pertama, Perdana Menteri membayangkan ia sebagai satu pinjaman mudah dengan kos yang minimum," jelas Shahelmey.

Untuk rekod, pelan jangka panjang penyelesaian isu air di Sabah dianggar memakan kos sehingga RM10 bilion seperti yang dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Jun lalu.

Kos tersebut termasuk bagi menggantikan paip-paip usang selain membina empangan-empangan dan loji baharu di seluruh negeri berkenaan.

Perdana Menteri sewaktu pembentangan tersebut difahamkan turut menyarankan agar satu jawatankuasa dibentuk bagi meneliti pelaksanaan cadangan-cadangan berkaitan peruntukan berkenaan.

1 Comment