RUU tubuh Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri Sabah diluluskan DUN Sabah
18:08 Aug 09, 2023  |  By SabahKini2
RUU tubuh Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri Sabah diluluskan DUN Sabah

RUU yang diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah itu adalah bertujuan untuk menubuhkan satu Kumpulan Wang Amanah yang diberi nama Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri.

Kota Kinabalu: Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini petang tadi.

RUU yang diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah itu adalah bertujuan untuk menubuhkan satu Kumpulan Wang Amanah yang diberi nama Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri.

Seramai sembilan ADUN turut mengambil bahagian bagi membahaskan RUU berkenaan antaranya ADUN Senallang; Telupid; Karamuntung; Nabawan; Sindumin; Kunak; Darau; Kuamut dan Tungku.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bagi melaksanakan penubuhan Kumpulan Wang Amanah itu, Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan 1964 (Sabah Cap.9) hendaklah dipinda bagi menambah butiran baharu berkenaan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ke dalam Jadual Enakmen.

Katanya, pindaan ini adalah selaras keperluan Seksyen 10(1) (b) (i) Akta Tatacara Kewangan 1957.

“Terdapat beberapa program dan aktiviti yang tidak tersenarai di bawah peruntukan perbelanjaan perbekalan dan pembangunan. Sesuatu program dan aktiviti perlu diwujudkan bagi menangani masalah luar jangka contohnya jika berlaku bencana alam.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri untuk menampung sebarang kekurangan peruntukan untuk disalurkan kepada Kementerian, Jabatan, Pejabat Daerah atau Agensi-Agensi Kerajaan Negeri yang akan melaksanakan antara lain program dan aktiviti yang dicadangkan,” katanya.

Katanya, ia termasuklah program pencegahan dan pemulihan bencana alam yang melibatkan bencana banjir, ribut taufan, kebakaran, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau, wabak penyakit dan epidemik.

Selain itu, Masidi berkata, program lain termasuklah pembasmian kemiskinan; program penyediaan kemudahan perkhidmatan sosial yang meliputi penyediaan kemudahan peralatan pembelajaran dan peralatan kesihatan.

”Tabung ini juga akan digunakan bagi perkhidmatan infrastruktur dan utiliti yang meliputi pembinaan, penyenggaran dan naiktaraf jambatan, jalanraya, cerun serta kemudahan sokongan yang lain termasuk penyediaan utiliti elektrik, air dan pembetungan.

”Sebarang perbelanjaan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Khas yang tidak termasuk dalam perkara–perkara yang disebutkan seperti bantuan kepada mangsa bencana contohnya mangsa banjir dan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sumber kewangan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ini adalah pencaruman daripada Kumpulan Wang Amanah dalam wang perbelanjaan tahunan Kerajaan Negeri yang mana jumlah belum dapat ditentukan pada masa ini.

Selain itu katanya, Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ini boleh menerima sumbangan daripada Agensi-agensi Kerajaan; Badan-badan Korporat; Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO); serta daripada individu dan dermawan.

Menurutnya lagi, Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ini juga ditubuhkan sebagai persediaan awal untuk meletakkan peruntukan Persekutuan sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk tidak menarik balik mana-mana peruntukan tahun kewangan semasa jika tidak habis digunakan.

“Pentadbiran dan pengawalan Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri ini akan ditadbir kawal oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah.

“Bagi maksud tersebut, seorang Pegawai Perakaunan akan dilantik oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab mengakaunkan penerimaan dana ke dalam Kumpulan Wang Amanah tersebut,” katanya.

Justeru itu, Masidi berkata, penubuhan Kumpulan Wang Amanah ini adalah penting bagi memastikan Kerajaan Negeri mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung sebarang kekurangan peruntukan terutamanya bagi memastikan program pembangunan Negeri dapat dilaksanakan dengan lancar termasuk bagi menyantuni rakyat semasa dalam kesusahan dan memerlukan bantuan segera daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Comment