Polis berjaya rampas 7.4kg syabu bernilai RM444,400
19:08 Aug 14, 2023  |  By SabahKini2
Polis berjaya rampas 7.4kg syabu bernilai RM444,400

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisoner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 7 bungkusan teh cina mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 7.4kg dianggarkan bernilai RM444,400.

TAWAU: Polis berjaya merampas 7.4kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM444,400 di kawasan Jeti Awam, di sini, 8 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki dipercayai pengedar bahan terlarang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisoner Jasmin Hussin berkata, ketika sepasukan polis menjalankan penugasan harian di kawasan jeti berkenaan, terkesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan membawa karung berwarna putih.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit adalah warga asing berusia 22 tahun dan dipercayai cuba balik ke negara asal menggunakan laluan laut.

“Hasil pemeriksaan ke atas karung berkenaan menemukan tujuh bungkusan plastik teh cina bertulis ‘Guanyinwang’ bersama dua bungkusan plastik berisi tepung gandum.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan teh cina berkenaan mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 7.4kg dianggarkan bernilai RM444,400,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek cuba membawa keluar syabu berkenaan menggunakan laluan laut untuk dijual di negara jiran.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing juga negatif sebarang jenis dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Jasmin berkata, dadah jenis syabu yang dirampas ini dipercayai dari luar dan dibawa masuk ke daerah ini sebelum ke negara jiran.

“Sehingga hari ini, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau telah membuat rampasan sebanyak 23,734.12g dadah jenis syabu sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.

“Polis Tawau akan meneruskan usaha secara agresif menangani kes-kes berkaitan pengedaran dadah dalam usaha menjadikan daerah ini sejahtera,” katanya.

Comment