Maxis bina hab internet di Sabah, tingkat kelajuan internet
16:08 Aug 15, 2023  |  By SabahKini2
Maxis bina hab internet di Sabah, tingkat kelajuan internet

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata infrastruktur komunikasi yang kukuh adalah asas kepada ekonomi digital yang cemerlang dan pemacu utama dalam memacu transformasi pendigitalan.

KOTA KINABALU: Hab internet serantau Maxis pertama yang dibina di sini membantu meningkatkan kelajuan internet serta perubahan ketara terhadap kependaman Internet untuk pengguna syarikat telekomunikasi terutamanya penstriman video dan permainan mudah alih di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata infrastruktur komunikasi yang kukuh adalah asas kepada ekonomi digital yang cemerlang dan pemacu utama dalam memacu transformasi pendigitalan.

“Salah satu misi utama KSTI ialah memperkasa masyarakat dengan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang teknologi digital meliputi penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi termasuk liputan mudah alih dan jalur lebar berkelajuan tinggi bagi meluaskan akses internet ke serata negeri.

“Peningkatan salinghubungan internet akan memudahkan akses kepada komunikasi dan kandungan pendidikan, seterusnya menggalakkan inovasi.

“Dengan adanya hab internet Maxis di Sabah, pencapaian penting ini turut menyumbang kepada pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025, bagi tonggak rangkaian infrastruktur dan kemampanan,” katanya semasa merasmikan Hab Internet Maxis Sabah di Kota Kinabalu di sini.

Beliau berkata salinghubungan yang lebih cekap dan pantas memastikan pembangunan digital di Sabah dapat dipercepatkan seterusnya menggalakkan lebih banyak inovasi serta penggunaan teknologi yang boleh dimanfaat dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan sebagainya.

“Kita mampu mencapai kecemerlangan digital seterusnya memastikan setiap rakyat Sabah mendapat manfaat daripada kemajuan era digital.

“Saya berharap pihak Maxis akan terus memberikan perkhidmatan terbaiknya untuk menyokong pembangunan Sabah, agar setiap rakyat negeri ini dapat menikmati kemudahan digital selepas ini.

“Kita menghargai usaha pihak swasta seperti Maxis, dalam menyokong agenda digital negara dan negeri Sabah khususnya,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga memberi sokongan dan akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi terutama Maxis dalam meningkatkan taraf hidup penduduk seiring pelaksanaan program komunitinya termasuk eKelas iaitu inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar di luar bandar dari Tahun Enam hingga Tingkatan Lima sejak 2017.

Katanya golongan usahawan juga mampu memanfaatkan program eKelas selepas Maxis meningkatkan sokongannya kepada masyarakat dalam mendorong penggunaan digital dalam kalangan pengusaha dan pengusaha Industri Kecil dan Serderhana (PKS) mikro sejak diperkenal bagi menghadapi pandemik pada 2020.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata pelaburan rangkaian penting ini membolehkan kapasiti trafik pengguna mudah alih menjadi lebih besar selepas dibina di Kota Kinabalu dan Kuching.

“Sebelum ini, pelayan teras di pusat data Maxis Lembah Klang memberi perkhidmatan kepada pengguna internet mudah alih di seluruh negara tetapi jarak Sabah dan Sarawak dari Lembah Klang menambah kependaman kepada pengalaman pengguna di kedua-dua negeri terbabit.

“Purata penggunaan data mudah alih bulanan pengguna Maxis di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi daripada purata nasional, dengan 32GB setiap pengguna dan pertumbuhan yang konsisten suku ke suku tahun.

“Selepas adanya hab ini, kadar kependaman di Sabah ialah 25ms berbanding 53ms dan kelajuan muat turun melonjak daripada 25Mbps kepada 40Mbps,” katanya.

Tambahnya pengguna juga menikmati kadar internet yang lebih baik dengan kelajuan lebih tinggi dan kependaman yang lebih rendah, terutamanya untuk aktiviti berkaitan video.

“Hab internet serantau dengan sambungan antarabangsa secara langsung berjaya meletakkan 58 peratus trafik mudah alih di Malaysia Timur yang disumbang oleh rangkaian penyampaian kandungan utama seperti Facebook, Google, Akamai dan Netflix.

“Kebanyakkan halaman web dan video pengguna juga akan dimuat lebih pantas serta kualiti imej lebih jelas,” katanya.

 

Comment