Sabah nekad kukuhkan penyampaian perkhidmatan digital
15:08 Aug 17, 2023  |  By SabahKini2
Sabah nekad kukuhkan penyampaian perkhidmatan digital

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan diperkembangkan secara konsisten.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited dalam memantapkan penyampaian perkhidmatannya dengan mengukuhkan pentadbiran dan kelengkapan peralatan digital anggota perkhidmatan di negeri ini. 

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan diperkembangkan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan.

Katanya, JPKN bertanggungjawab membangunkan sistem aplikasi untuk agensi-agensi kerajaan negeri dan dijangkakan sebanyak 30 sistem aplikasi yang bercirikan End-To-End akan dibangunkan.

"Kita akan memastikan jentera kerajaan terus bekerja dalam suasana 5A iaitu 'Available At Anytime, Anywhere with Any mobile Device', termasuk pemasangan kemudahan WiFi di semua premis kerajaan dengan keselamatan siber.

"Infrastruktur rangkaian internet di semua premis kerajaan terus dimantapkan dengan pemasangan talian jalur lebar selaras dengan perluasan pemasangan rangkaian gentian optik di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis 'International Conference On Public Organisations' XII (ICONPO 2023) di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, kerajaan akan merancakkan penggunaan solusi pengkomputeran awan selaras dengan 'MyDigital Economy Blueprint'. 

"Sabah Net meneruskan kerja menaik taraf di semua 749 pejabat kerajaan negeri kepada rangkaian fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga 2025. 

"Semua usaha ini bagi memastikan pelaksanaan dan pembangunan digital yang berkesan serta mampan,” katanya 

Beliau berkata, kerajaan negeri mengutamakan pendigitalan perkhidmatan awam ke arah pentadbiran digital bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Pembangunan Teknologi dan Inovasi Sabah (MaPTIS) untuk menyokong pembangunan strategi dalam meningkatkan kapasiti Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

"Dalam dua tahun kebelakangan ini, pandemik COVID-19 mempercepatkan gelombang perubahan di mana perniagaan, kerajaan dan netizen terpaksa mengintegrasikan digital ke dalam urusan harian mereka.

"Kita sedar bahawa banyak peluang boleh dicapai jika kita menguasai ekonomi digital untuk mencapai matlamat jangka panjang yang ditetapkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

"Sebab itu juga melalui KSTI, kita memperkenalkan Konsep Sandbox bagi memacu lagi pelaksanaan pendigitalan di negeri ini. Perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan dalam Sandbox ini termasuk peluang pelaburan untuk inovator dan usahawan, nasihat undang-undang dan latihan untuk usahawan,” katanya.

Beliau berkata, Sistem Maklumat Geografi (GIS) juga akan dibangunkan untuk mengumpul maklumat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.

"Kita perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital seperti pemasaran digital, penggunaan pelbagai aplikasi, dan penggunaan secara maya,” katanya.

Beliau turut berharap persidangan itu akan berjaya termasuk membincangkan cara terbaik untuk memperkukuh transformasi digital ke arah tadbir urus pintar.

Comment