McDonald’s Malaysia tandatangani MoU bersama KKIP
15:08 Aug 18, 2023  |  By SabahKini2
McDonald’s Malaysia tandatangani MoU bersama KKIP

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan usahasama antara syarikat-syarikat francais dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menerokai potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri ini

KOTA KINABALU: McDonald’s Malaysia dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalinkan kerjasama yang akan menyaksikan pemerolehan empat ekar tanah di kawasan milik KKIP bagi pembinaan hab pembekalan makanan lengkap untuk syarikat khidmat segera itu di sini.

Hab berkenaan akan melibatkan tiga pembekal utama McDonald’s Malaysia yang akan mendirikan kilang, gudang dan pusat penghantaran. 

Para pembekal ini adalah Bimbo QSR bagi bekalan roti bun; Tyson Foods bagi bekalan makanan seperti sayuran dan untuk jangka panjang bekalan protein seperti nuget dan kepingan daging, HAVI Logistics sebagai syarikat pengedar utama yang akan menyediakan kemudahan bagi penghantaran bekalan ke seluruh restoran McDonald’s di Sabah serta Sarawak.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah merasmikan restoran McDonald’s Pandu-Lalu Jalan Sulaman 2 di sini, hari ini.

Hajiji turut turut menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan.

Menandatangani MoU itu bagi pihak McDonald’s ialah Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar, KKIP diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Laurence Kimkuan, Bimbo QSR diwakili oleh Naib Presiden Transformasi Global Natasha Galavotti, Tyson Foods diwakili oleh Naib Presiden Unit Perniagaan Malaysia Victor Sim dan HAVI Logistics Malaysia diwakili oleh Timbalan Pengurus Besarnya Dominic Alexander Lopez.

Hajiji menyambut baik rancangan McDonald’s mewujudkan Hab Pembekalan Makanan Bersepadu di KKIP dan membuka lebih banyak restorannya di Sabah kerana ia bukan sahaja dapat membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat, malah turut mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

"Kerajaan negeri juga mengalu-alukan usahasama antara syarikat-syarikat francais dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi menerokai potensi perniagaan yang akan memberi manfaat kepada negeri ini," katanya.

Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan pembayaran zakat perniagaan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Sabah.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan merangkap Pengerusi KKIP Phoong Jin Zhe, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip.

Comment