Sabah komited tingkat usaha pendigitalan
17:08 Aug 23, 2023  |  By SabahKini2
Sabah komited tingkat usaha pendigitalan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu dilaksana dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti serta pertumbuhan dalam bidang pendigitalan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan pendigitalan bagi memaksimumkan potensi ekonomi digital di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu dilaksana dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti serta pertumbuhan dalam bidang berkenaan.

“Seiring perkembangan teknologi, bidang perniagaan perlu dimanfaatkan dengan teknologi terkini termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Sistem digital kini memberi impak besar terhadap industri perniagaan dan pihak yang tidak mengaplikasi teknologi terkini  akan  berhadapan kegagalan.

“Ekonomi digital di Malaysia dijangka menyumbang 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, seiring sasaran kerajaan mewujudkan setengah juta pekerjaan dalam bidang digital menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Persidangan Ekonomi Cina Sabah (SCEC) di sini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata persidangan itu yang bertujuan meningkatkan daya saing ekonomi Sabah dengan penggunaan teknologi baharu, termasuk AI dan dron dalam membangunkan ekonomi perlu disokong.

Katanya, kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) berjaya menganjurkan seminar penggunaan dron pada Jun lalu yang menarik minat ramai pihak untuk meneroka potensi dron dalam merevolusikan ekonomi negeri. 

“Untuk memastikan kita kekal berdaya saing, usaha lebih kreatif dan proaktif dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi digital dan penggunaan realiti maya perlu dilaksana.

“Kerajaan negeri juga akan menumpukan usaha memperkasa modal insan agar kekal berkebolehan, inovatif, berdaya tahan dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk penganjuran program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kursus selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan pengembangan internet kebendaan (IoT).

“Kita juga akan menjalin kerjasama dengan industri berkaitan mengenai latihan kemahiran dalam meningkatkan kapasiti dan kebolehpasaran modal insan kita,” katanya.

"Rancangan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada 2021 juga banyak membuahkan hasil seiring pelan tindakan strategik untuk menetapkan hala tuju pembangunan Sabah,“ katanya.

Hajiji berkata terdapat banyak peluang pelaburan domestik dan asing yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah.

“Kita ada beberapa zon industri utama iaitu dua zon ekonomi bebas masing-masing Perkhidmatan Logistik Bersepadu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Hab Transhipment di Sepanggar.

“Terdapat juga Terminal Minyak dan Gas Sabah di Papar dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang serta Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu.

"Dua lagi taman perindustrian akan dibina di Kimanis dan lokasi antara Kota Belud dan Kota Marudu untuk memberi peluang pelaburan baharu di negeri ini," katanya.

Tambahnya, peluang seumpama juga banyak terdapat dalam dua sektor teras lain iaitu pertanian dan pelancongan yang menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak pembukaan sempadan negara dengan mencatat peningkatan 77.1 peratus ketibaan pelancong luar dari Januari hingga Mei tahun ini.

“Kita menjangka 2.2 juta pengunjung akan memasuki Sabah menjelang akhir tahun dengan menjana RM4 bilion bagi hasil pelancongan untuk negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata Sabah yang terletak di tengah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur, Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) sebagai lokasi strategik serta mempunyai potensi berterusan sebagai hab serantau dalam bidang pembuatan, maritim dan pengangkutan untuk negara membangun dan maju.

Tambahnya, pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke wilayah Kalimantan Timur juga petanda baik untuk Sabah dalam mengukuhkan kedudukan selain merangsang aktiviti ekonomi termasuk akses kepada subrantau ini dengan pasaran lebih 70 juta orang pelabur.

“Tidak dinafikan Sabah berdepan pelbagai cabaran dan kekangan, bagaimanapun ia boleh diatasi dan kita berazam untuk terus maju bagi merealisasikan matlamat yang ditetapkan dalam agenda pembangunan negeri,” katanya.

Comment