Kerjasama kerajaan dan NGO penting untuk jelaskan Gagasan Malaysia Madani, SMJ
22:08 Aug 27, 2023  |  By SabahKini2
Kerjasama kerajaan dan NGO penting untuk jelaskan Gagasan Malaysia Madani, SMJ

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai NGO, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu diberi penghargaan kerana memainkan peranan yang sangat aktif dalam pelbagai bidang khususnya dakwah, sosial dan kerja amal.

TAWAU: Kerjasama di antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diteruskan dalam memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan Konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) yang terkandung dalam Pelan Pembangunan SMJ kepada rakyat secara keseluruhannya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai NGO, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu diberi penghargaan kerana memainkan peranan yang sangat aktif dalam pelbagai bidang khususnya dakwah, sosial dan kerja amal.

Sejak dari dahulu lagi katanya, USIA begitu konsisten dengan tanggungjawab dalam membantu kerajaan untuk memelihara keharmonian dan meningkatkan kesejahteraan dalam kalangan penduduk Sabah. 

"Itulah antara sebab mengapa saya menyarankan agar USIA mengadakan kerjasama atau berkolaborasi dengan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) untuk mengadakan forum bagi memberi penjelasan berkaitan Gagasan Malaysia Madani dan dasar SMJ.

"Kerjasama dan kolaborasi seperti ini harus diteruskan, bukan hanya antara USIA dengan Pejabat TSKN (Tugas-Tugas Khas) sahaja, bahkan antara kementerian atau jabatan lain bersama dengan mana-mana NGO. Bekerjasamalah anda semua demi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Forum Malaysia Madani: Keharmonian Dalam Kepelbagaian, Pelaksanaan WAM2CARE Peringkat Zon Tawau dan Upacara Menandatangani MOU Antara USIA dan IKDAR di sini hari ini.

Hajiji berkata, Gagasan Malaysia Madani dan Pelan Pembangunan SMJ menjurus kepada matlamat untuk mencipta kemakmuran dan kesejahteraan demi kebajikan dan kebahagiaan seluruh rakyat. 

Namun katanya, dalam konteks Pelan Pembangunan SMJ, masih terdapat segelintir orang yang cuba memperkecil-kecilkan atau memperlekeh slogan SMJ yang dipinjam daripada Jata Negeri.

"Pada saya, mereka yang cuba memperlekeh cogan kata Sabah Maju Jaya, samalah seperti memperlekeh usaha dan perjuangan para pemimpin dan pejuang masa silam. 

"Perlu juga diingat, bahawa Gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, bukanlah suatu retorik semata-mata. 

"Kedua-dua konsep ini telah dirangka dengan teliti demi mencapai kemajuan yang hakiki untuk negara kita dan Sabah," jelasnya.

Beliau berkata, antara bukti kejayaan kita melalui Pelan Pembangunan SMJ ialah pencapaian dalam sektor pembangunan ekonomi yang mana perdagangan Sabah mencapai rekod tertinggi dalam sejarah. 

"Pada tahun lepas, perdagangan Sabah bernilai RM118.1 bilion berbanding RM87.2 billion pada 2021. Peningkatan sebanyak 35.4 perayus ini adalah disebabkan pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini,” katanya.

Justeru, beliau menyokong penuh penganjuran Forum Malaysia Madani ini sebagai usaha menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke arah membina sebuah negara yang bertamadun, maju dan progresif. 

"Gagasan Malaysia Madani ini adalah hala tuju Kerajaan Perpaduan Persekutuan dalam membawa Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang hebat dalam pelbagai aspek terutama ekonominya, pembangunan dan kemajuan termasuk pendidikan, sumber manusia, agama dan budaya.

"Konsep Malaysia Madani adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ yang saya perkenalkan pada awal 2021, sebagai matlamat atau dasar hala tuju kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh rakyat, terutama kalangan penjawat awam, selaku nadi penggerak pengurusan dan pentadbiran negeri, untuk terus berusaha dan bekerja demi membina sebuah negeri yang boleh dibanggakan bersama.

Sempena majlis itu, Ketua Menteri turut menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara USIA dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) bagi pengoperasian Pusat Latihan Dakwah USIA-Al-Bukhary di Kampung Marasinsim Kota Marudu.

Hajiji turut melancarkan program Wadah Amal Menteri (WAM2Care) bagi daerah Tawau, bagi menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada Pelajar-pelajar di Sabah antaranya Bantuan Ehsan Sekolah Sabah (BISBA) dan Bantuan Aktiviti Persatuan Ibu Bapa Guru (BAGUS).

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad.

Comment